Selasa, 16 Januari 2018

SPRM diselar biarkan maklumat bocor dijadikan berita palsu


Roketkini.com

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyelar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana membiarkan akhbar pro-Barisan Nasional (BN) memetik apa yang didakwa sebagai sumber dalaman agensi itu bagi melapor berita palsu.

Katanya, laporan akhbar The Star dan New Straits Times memetik sumber yang tidak dinamakan bahawa kononnya tanah projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya di Pulau Pinang adalah berharga RM3 bilion.

Sedangkan, menurutnya, beliau dalam sidang media sebelum ini telah menerangkan secara terperinci mengenai perkara tersebut dan menegaskan harga tanah berkenaan adalah bernilai RM208 juta.

“Walaupun kerajaan negeri dengan cermat telah menunjukkan bukti bagi menyangkal dakwaan media BN, mereka masih lagi bersikap pengecut dan tidak jujur serta enggan menyiarkannya.

“Sehingga kini, sama ada The Star atau New Straits Times gagal menunjukkan bukti bahawa kerajaan negeri telah membenarkan tanah negeri bernilai RM3 bilion untuk dijual.

“Atas sebab ini, kerajaan negeri menyatakan rasa tidak puas hati apabila penyiasatan SPRM kelihatan didorong oleh berita palsu media BN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata akan menggunakan pelbagai sumber termasuk laporan media sebagai asas siasatan mereka ke atas projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, projek berkenaan diluluskan melalui tender terbuka oleh Jawatankuasa Sebutharga Pulau Pinang yang dipengerusikan Setiausaha Negeri.

Malah, katanya, mengikut peruntukkan undang-undang Ketua Menteri dan EXCO tidak dibenarkan berada dalam jawatankuasa tersebut.

“Malangnya, SPRM nampaknya membiarkan berita palsu dalam media BN yang menyebut sumber SPRM yang tidak dinamakan untuk terus dicetak tanpa mengambil sebarang tindakan.

“Apabila terdapat pendedahan melibatkan Menteri Besar Johor menerima dana berjumlah berjuta-juta ringgit, pihak berkuasa tidak bertindak dengan cepat. Kenapa ada sikap dwi-standard?” soalnya yang juga Ahli Parlimen Bagan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: