Isnin, 15 Januari 2018

Pelajar terselamat bila gigit tangan penculik

Mohd Zaini Samsu Hadi
Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Pandan Indah yang didakwa diculik dua lelaki India pada Jumaat lepas.


KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat laporan mengenai satu kejadian culik melibatkan seorang pelajar lelaki tingkatan satu di sebuah sekolah menengah di Pandan Indah di sini.

Menurut laporan yang dibuat, pelajar tersebut mendakwa, dia didatangi dua lelaki berbangsa India ketika sedang menunggu bas di sebuah hentian di Taman Pandan Indah.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu kemudian telah menarik tangan dan membawanya masuk ke dalam sebuah van.

“Dalam kira-kira 10 minit kemudian saya telah nampak sign board Pandan Jaya dan bus stop Pandan Jaya.



“Kemudian saya telah menggigit tangan lelaki India yang duduk di sebelah saya. Saya telah tendang lelaki India tersebut dan terus melarikan diri ke bus stop dan menaiki bas Rapid pergi ke SMK Pandan Indah,” demikian menurut laporan polis dibuat pelajar berkenaan yang menjadi tular di laman sosial.

Dalam laporan berkenaan pelajar itu berkata, sejurus tiba di sekolah dia memberitahu kejadian yang dialami kepada seorang guru sebelum pihak sekolah menghubungi ibu bapanya dan membuat laporan polis.

Sementara itu, pegawai penyiasat Balai Polis Pandan Indah, Inspektor Afiq Muhamad ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kejadian itu dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Menurutnya, berdasarkan kejadian itu, pelajar berkenaan turut mengalamai kecederaan di tangan kanannya ekoran tersangkut pada kaca cermin di surau di sekolahnya ketika berlari masuk ke sekolah selepas berjaya melepaskan diri daripada suspek-suspek yang di dakwa.

“Kalau mengikut siasatan kami. pelajar itu bukanlah anak seorang kenamaan dan ayahnhya hanya bekerja sebagai jurutera perisian di sebuah syarikat.

“Gambar yang viral menunjukkan pelajar itu cedera bukanlah disebabkan atas faktor culik.

Sebaliknya, ia merupakan kecederaan yang dialami oleh pelajar itu ketika berlari masuk ke dalam kawasan ketika menyelamatkan dirinya dan terkena kaca cermin di surau,” ujarnya yang merupakan pegawai penyiasat kes berkenaan.

Setakat ini kata beliau, belum ada sebarang tangkapan dibuat mengenai kejadian itu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: