Isnin, 15 Januari 2018

Hubung kait suami Maria, Bersih 5 diresapi IS berasas – Peguam Jamal

Nizam Zain
Mohammed Nasser Yusof bercakap kepada media mengenai kes saman fitnah terhadap Datuk Seri Jamal Yunos di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI
 
KUALA LUMPUR – Tuduhan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengaitkan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menerusi perhimpunan Bersih 5 diresapi pengaruh militan Islamic States (IS) atau Daesh mempunyai asas.

Peguam Jamal, Mohammed Nasser Yusof berkata, berdasarkan latar belakang bekas suami Maria, Mohamed Yunus Lebai Ali yang melarikan diri ke luar negara dan ditangkap di bawah Operasi Lalang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan.

“Saya ingin menunjukkan kaitan di antara Maria Chin dengan arwah suaminya, Yunus Lebai Ali yang merupakan aktivis mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang lari dan keluar negara akibat daripada operasi tangkapan ketika itu.

“Setelah pulang dia juga telah ditangkap di bawah Operasi Lalang dalam senarai 107 orang.

Kaitannya lebih kepada hubung kait dalam pembelaan defendan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan kes saman fitnah Maria terhadap Jamal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dalam keterangan saman fitnahnya terhadap Jamal, Maria mengakui perhimpunan Bersih 5 merupakan anjuran Bersih 2.0, yang mana beliau adalah pengerusinya.

“Bersih 5 bukan setakat berhimpun di Kuala Lumpur, bahkan mereka melalui konsultan dari Thailand dan Taiwan yang mereka lantik untuk mengepong tempat-tempat strategik seperti Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan klia 2.

“Ia dibuat supaya lapanga terbang itu tidak boleh beroperasi seperti di Thailand beberapa tahun dahulu yang mengepong Jabatan Perdana Menteri, pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan lain-lain.

“Kami mendapat sumber-sumber yang amat meyakinkan andaian sangat meyakinkan Bersih 5 ini sudah diresapi oleh IS dan kumpulan Daesh,” katanya.

Mohammed Nasser berkata, tuduhan Jamal itu merupakan keterangan lebih kepada justifikasi bahawa menjatuhkan kerajaan oleh pihak plaintif itu ada dalam kerangka dan juga hubung kait Maria Chin dengan bekas suaminya.

“Bagaimana hubungan keganasan ini dalam menjustifikasikan percakapn dan juga apa yang diucapkan oleh Datuk Jamal,” katanya.

Sesi perbicaraan kes saman fitnah yang dilakukan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab akan bersambung pukul 9.30 pagi esok.

Peguam N.Surendran, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin mewakili Maria Chin.

Esok, dua saksi plaintif, iaitu aktivis politik, Hishamuddin Rais dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil bagi memberi keterangan.

Beberapa saksi turut dikemukakan sepanjang perbincaraan kes saman fitnah itu termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Hasan Karim, rakan lama suami Maria Chin, Yunus dan beberapa petugas media.

“Insya-Allah Datuk Jamal akan hadir esok. Selain itu, bekas ketua polis negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kami juga akan memanggil Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah berkenaan penahanan SOSMA ke atas Maria Chin tempoh hari,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: