Isnin, 15 Januari 2018

Budaya Melayu atau budaya Tun M halang Malaysia maju?

DETIK DAILY

 
Oleh HUZIR SULAIMAN

 SAYA ingin memetik kenyataan terbaru Tun Mahathir seperti yang dilaporkan media di Bicara Wawasan 2020 tempohari bahawa budaya dan nilai hidup Melayu telah menyebabkan kaum itu mundur dan menjadi halangan buat Malaysia untuk mencapai Negara Maju. Budaya yang dimaksudkan Pengerusi dan calon Perdana Menteri dari PAKATAN HARAPAN itu adalah:

1. Kurang tekun bekerja.
2. Kurang rajin.
3. Kadangkala kurang Amanah.
4. Sering cari jalan mudah.
5. Suka kerja sikit tapi mahu gaji besar.
6. Sangat kurang rasa malu walaupun tidak buat kerja yang baik.

Yang peliknya, dari hasil bacaan saya berkenaan asal usul Budaya dan Nilai Kaum Melayu yang ditulis oleh ahli sejarah dunia dan tempatan, tidak ada satu pun tercatat budaya dan nilai yang Tun Mahathir maksudkan.

Punya ramailah tokoh-tokoh Ekonomi dan Kewangan Negara, Ahli Korporat, Ahli Sukan, Ahli Akademik, dan 1001 tokoh terkemuka pelbagai bidang dari kalangan kaum Melayu yang berjaya di dalam dan di luar negara yang seolah-olah dipandang sebelah mata oleh Tun Mahathir.
Mereka adalah Rakyat Malaysia yang bekerja keras siang dan malam, malah ada yang menyambung nyawa demi maruah Bangsa, Agama dan Negara.

Tetapi sayang, pengorbanan anak bangsa seolah-olah tidak dihargai Pengerusi dan calon Perdana Menteri dari PAKATAN HARAPAN itu sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.
Sebuah kenyataan pada pandangan saya menghina keupayaan sebenar masyarakat Melayu yang realitinya tidak langsung seperti yang digambarkan Tun Mahathir.

Tidak salah jika Jepun selaku Negara Gergasi Ekonomi Dunia mahu dicontohi Tun Mahathir, tetapi kritikan yang dibuat beliau dengan menyalahkan Budaya Kaum Melayu sebagai halangan kepada Malaysia untuk mencapai Negara Maju adalah kenyataan melulu, tidak berfakta dan berniat jahat kepada kelompok majoriti masyarakat di negara ini.

Saya berharap Tun Mahathir dapat juga melihat kelemahan beliau dan parti yang beliau wakili ketika memimpin negara satu ketika dahulu. Bukannya rakyat tidak tahu projek-projek jangka panjang yang kerajaan pimpinan beliau berikan pada kaum lain di zaman pemerintahannya jika dibandingkan dengan Kaum Melayu. Wujudkah keseimbangan dalam soal pembahagian kekayaan negara di antara kaum di zaman pemerintahannya selama 22 tahun itu?

Penguasaan ekonomi yang tidak sampai 30% kepada Kaum Melayu menjelaskan segala-galanya tentang prestasi beliau dalam memacu Kaum Melayu untuk menguasai sektor Ekonomi dan Kewangan Negara.

Mudah-mudahan Kaum Melayu dapat menilai baik dan buruknya menyokong PAKATAN HARAPAN, lebih-lebih lagi dengan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dari pakatan itu selepas PRU ke-14 nanti

Tiada ulasan: