Isnin, 15 Januari 2018

100 ahli dari bahagian PPBM Klang pimpinan Rais masuk Umno

DETIK DAILY

 
 
PETALING JAYA: Kira-kira 100 ahli PPBM Klang, bahagian yang dipengerusikan pengarah strategi dan dasar parti Datuk Rais Hussin, semalam mengumumkan menyertai Umno, sambil berkata mereka hilang keyakinan dengan pucuk pimpinan.

Kumpulan diwakili ahli PPBM Klang, Mohd Hazwan Zulkifly, turut mendakwa amalan kronisme di samping menuduh pemimpin parti mementingkan diri sendiri.

“Kami yang keluar PPBM ini merupakan penggerak parti yang bertanggungjawab menjalankan kerja parti, dengan ini PPBM Klang telah lumpuh,” katanya.

Mereka juga berkata tidak puas hati dengan pengumuman Pakatan Harapan (PH) mengangkat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali memegang jawatan perdana menteri sekiranya gabungan itu menang pada pilihan raya akan datang, di samping mempersoalkan kecekapan kerajaan negeri Selangor dalam menyelesaikan isu sampah dan perumahan.

Rais dalam reaksinya berkata tindakan itu sudah diduga, dan menjangkakan lebih banyak “pengumuman media” seumpama itu menjelang pilihan raya.

Menurutnya, ia sesuatu yang “tipikal” akhir-akhir ini, di mana segelintir ahli yang tidak berpuas hati akan menggunakan saluran NGO pro-Umno.

“Ini adalah taktik lapuk di mana ia dilaksanakan untuk mendapat habuan atau dedak serta bagi meraih populariti peribadi.”

Rais berkata pihaknya sudah membuat pelbagai usaha mengasimilasikan mereka dengan perjuangan PPBM tetapi gagal.

“Pastinya, sebab utama adalah kerana mereka mempunyai agenda tertentu yang mereka sahaja mengetahuinya,” katanya. 
 
 

Tiada ulasan: