KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan adik iparnya mengaku tidak bersalah di
Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Abu
Sayyaf dan menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas
berkenaan.
Warga tempatan Hajar Abdul Mubin, 25, dan adik iparnya Abdul Syamir
Dabilin, 25, rakyat Filipina, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan
ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd
Sofian Abd Razak.
Kedua-dua lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu dipercayai
antara 19 suspek ditahan sebelum ini dalam cubaan melakukan serangan
ketika upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Mengikut pertuduhan, Hajar yang merupakan perancang utama serangan itu
didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf mengikut Seksyen
130 KA Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan
denda jika sabit kesalahan.
Dia yang berasal dari Sabah dituduh melakukan kesalahan itu di ZA 2-14
Lorong Pangsa Baiduri 2, Taman Desa Baiduri, Cheras antara 2010 dan 30
Ogos 2017.
Abdul Syamir pula didakwa sengaja menyembunyikan maklumat berhubung
kumpulan itu yang mana mereka terikat di sisi undang-undang untuk
memberi maklumat tersebut di tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun
Keseksaan, membawa hukuman penjara maksimum 7 tahun atau denda atau
kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mohd Sofian menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.
Media sebelum ini melaporkan polis mematahkan rancangan kumpulan
pengganas di negara ini yang dipercayai penyokong IS dalam cubaan
melakukan serangan ketika upacara penutup KL2017 dan Perbarisan Hari
Kebangsaan 2017 di Dataran Merdeka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan