Isnin, 4 Disember 2017

Suami isteri mengaku tak bersalah seleweng wang umrah

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan menyeleweng dan bersubahat menyeleweng wang umrah milik seorang mangsa berjumlah RM40,380.
 
Bagaimanapun tertuduh Mohd Pirus Yusof Khan, 47 dan isteri Nur Sureena Intachat Abdullah, 43, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.
 
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Pirus yang diamanahkan sebagai ejen di KRS Travel Sdn Bhd Cawangan Kuantan telah melakukan pecah amanah dengan menyeleweng wang umrah kepunyaan Ramli Hamid, 62, berjumlah RM40,380.
 
Kesalahan dilakukan di sebuah pejabat agensi pelancongan, di Jalan Bukit Sekilau, antara bulan September hingga November lepas.
 
Isterinya pula menghadapi tuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu, di lokasi dan masa sama.
 
Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama.
 
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang 2 tahun atau tidak lebih 20 tahun dengan sebatan.
 
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fatinah Abu Bakar.
 
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dan tarikh sebutan semula kes pada 9 Januari depan.
 
Pasangan suami isteri itu ditahan 28 November lalu selepas dipercayai terbabit dalam kes penipuan umrah membabitkan kerugian lebih RM350,000.
 
Mereka yang dijejak polis sejak lima bulan lalu ditahan, susulan laporan polis terbaru seorang guru mendakwa mengalami kerugian lebih RM40,000.
 
 

Tiada ulasan: