Sabtu, 30 Disember 2017

Robert Kuok dan gula-gula kroni

DETIK DAILY

 
Oleh Ahmad Yazid Othman

Tidak boleh disangkal, Robert Kuok adalah antara ahli perniagaan yang paling berjaya di dunia. Dengan kekayaan mencecah RM55 bilion, beliau adalah manusia ke-40 paling kaya di dunia.

Walaupun kita berterima kasih kepada Kuok di atas sumbangannya kepada ekonomi Malaysia, namun beliau harus juga mengingati bahawa kejayaan beliau di permulaan hidupnya adalah hasil pelbagai monopoli dan lesen yang diberikan kepadanya.

Namun, zaman Kuok sudah berakhir dan sekarang Malaysia lebih memerlukan usahawan inovatif seperti Elon Musk dan Steve Jobs yang tidak memerlukan monopoli kurniaan kerajaan untuk mengubah dunia.

Antara masalah yang membelenggu ekonomi Malaysia adalah penguasaannya oleh kroni yang menjana keuntungan mudah hasil kurniaan lesen, permit atau kontrak yang membenarkan kroni tersebut memonopoli pasaran dan meningkatkan harga tanpa kebimbangan disebabkan tindak balas pesaing.

Fenomena ini terbukti berleluasa di Malaysia apabila majalah terkemuka, The Economist dalam artikelnya pada 2016 meletakkan Malaysia di tangga ke-2 kapitalisme kroni di dunia, setelah menyimpulkan bahawa kebanyakan bilionair di Malaysia terlibat dalam sektor perniagaan yang cenderung kepada “rent-seeking”.

Rent-seeking adalah suatu usaha untuk menikmati keuntungan tanpa menjana kebaikan ekonomi yang melebihi keuntungan yang dijana. Antara sektor yang dianggap The Economist sebagai cenderung kepada rent-seeking adalah kasino, komoditi (gula, beras, dan lain-lain), pertahanan, perbankan, hartanah, tenaga dan komunikasi.

Individu bilionair yang mengaku dirinya tidak pernah menerima bantuan kerajaan harus sedar bahawa hampir semua perniagaannya yang berjaya termasuk di dalam senarai sektor “rent-seeking”. Hakikatnya majoriti daripada golongan terkaya di Malaysia berjaya hasil daripada kapitalisme kroni yang memerlukan hubungan yang baik dengan pemerintah.

Adalah tidak adil bagi mana-mana pihak khususnya golongan terkaya di Malaysia untuk menafikan sumbangan pelbagai pihak dalam membina kekayaan mereka.

Dalam autobiografinya, Kuok menyatakan sebab beliau berhijrah ke Hong Kong pada 1970-an bukanlah kerana keadaan politik dan kaum di Malaysia tetapi lebih kepada cukai korporat Hong Kong yang sangat rendah iaitu 17%, berbanding 50% di Singapura dan Malaysia.

Kekayaan awal Kuok banyak berpunca daripada perdagangan gula dan beras antarabangsa melalui syarikatnya, Kerry Holdings. Kuok sendiri mengaku bahawa Kerry Holdings menjadi makmur hasil “monopoli ajaib” pembekalan gula dan beras ke Indonesia yang “dikurniakan” Presiden Indonesia, Suharto, kepada kawan baik Kuok, Yani Haryanto.

Hasil monopoli gula dan beras ke Indonesia, Kuok meraih begitu banyak kekayaan sehingga beliau dapat membeli banyak sekali aset hartanah di Hong Kong sekitar dekad 1970-an pada harga yang jauh lebih murah dari sekarang.

Kuok percaya sesebuah negara perlu mementingkan keagungan perundangan jika ingin maju. Undang-undang apakah yang membolehkan Kuok dan Yani Haryanto memonopoli import gula dan beras kepada Indonesia?

Adakah di dunia yang luas ini, tiada orang lain yang mampu melainkan Kuok dan kawan karibnya?

Menurut Kuok, kaum Cina sahaja yang memainkan peranan besar membangunkan Asia Tenggara. Kaum India hanya layak merangkul tempat kedua. Kaum pribumi seperti Jawa, Melayu dan Siam pula hanya memainkan peranan sampingan dan hampir tidak relevan dalam pembangunan Asia Tenggara dalam abad ke-20.

Kepada sesiapa yang berkongsi kepercayaan dengan Kuok, barangkali tiada hujah di dunia yang mampu mengubah kepercayaan ekstrem mereka.

Tidak cukup dengan penghinaan kaum pribumi, Kuok juga mengambil kesempatan mengutuk kaum Jepun sebagai kaum yang hanya tahu memberi kesetiaan buta dan kaum Barat sebagai kaum yang memerlukan persekitaran yang tenteram untuk meraih keuntungan.

Jelas, pada fikiran Robert Kuok, Cina adalah kaum yang teragung dengan kebolehan berniaga yang tidak boleh ditandingi.

Jika seluruh dunia boleh menerima fakta ini, eloklah kalau usaha membangunkan dunia dibiarkan sahaja kepada kaum Cina semata-mata.

Kita percaya dengan kerjasama produktif di antara semua kaum di Malaysia tetapi kerjasama sebegini tidak mungkin tercapai jika ada pihak yang terlalu taasub dengan kepercayaan bahawa kaum mereka adalah yang terunggul tanpa tolok bandingan.

Dasar afirmatif seperti Dasar Ekonomi Baru mengiktiraf keperluan untuk memberi bantuan kepada golongan yang terpinggir. Namun, tidak dinafikan pelbagai kesilapan yang telah pun berlaku dan masih berterusan dalam pelaksanaan dasar afirmatif.

*Ahmad Yazid Othman mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
 
 

Tiada ulasan: