Jumaat, 8 Disember 2017

Puteri Umno buat laporan polis dakwaan isu 'khalwat'

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno Malaysia membuat dua laporan polis di balai polis Dang Wangi di sini hari ini berikutan dakwaan anggotanya berkhalwat ketika Perhimpunan Agung Umno 2017 yang sedang berlangsung ketika ini.
 
Ketua penerangannya Haryaty Hamdzah berkata laporan itu dibuat susulan dakwaan bekas seorang anggota pergerakan itu yang disiarkan sebuah portal berita pembangkang kononnya banyak berlaku kes khalwat setiap kali perhimpunan agung Umno berlangsung.
 
“Kenyataan yang melampau, menjejaskan imej parti dan kepercayaan rakyat. Ia juga menjejaskan imej anggota muda terutamanya dalam Puteri Umno, Pemuda dan sebagainya.
 
“Ini mewujudkan persepsi baharu bahawa persidangan buat benda tak betul, harap pihak berkuasa buat siasatan kenyataan ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di sini hari ini.
 
Turut membuat laporan polis di balai yang sama ialah ketua Puteri Umno Klang Norhaslindawati Bujang. Haryaty berkata Puteri Umno juga bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat fitnah itu jika ada keperluan.
 
Beliau berkata kenyataan bekas anggota Puteri Umno itu, yang kini bersama PAS, tidak berasas kerana ketika perhimpunan itu, Puteri Umno memberi fokus kepada kepada agenda parti.
 
Kira-kira 10,000 anggota Puteri Umno hadir pada perhimpunan yang berlangsung dari Selasa hingga Sabtu ini. 
 
 

Tiada ulasan: