Ahad, 10 Disember 2017

PH bakal cipta sejarah namakan calon PM hadapi PRU14


PH bakal cipta sejarah namakan calon PM hadapi PRU14



Gabungan pembangkang yang kini berada di bawah satu pasukan yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) akan mencipta sejarah apabila dapat menamakan calon perdana menteri dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU14) akan datang.

Pengerusi PH Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, pada PRU13 yang lalu untuk memulakan perbincangan pun gabungan pembangkang Pakatan Rakyat gagal melakukannya.



Husam Musa dalam program Hard Talk bersama Tun Mahathir di Bangi Golf Resort malam tadi.

“Waktu itu parti saya cuba menamakan Tengku Razaleigh Hamzah.

“Bukan saja parti lain tidak tahu malah ramai dalam kalangan kami dalam parti pun tidak tahu menahu,” katanya dalam program Hard Talk bersama bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad malam tadi.

Program itu diadakan di Bangi Golf Resort anjuran PH Kelantan yang turut mengadakan majlis makan malam untuk mengumpulkan dana untuk PRU14.

Pada pilihan raya tahun 1990 katanya, angkatan perpaduan ummah hampir berjaya menamakan Tengku Razaleigh sebagai calon perdana menteri.

“Malangnya beberapa hari sebelum hari mengundi beliau menghadiri satu majlis di Sabah dan memakai tengkolok yang dikatakan ada lambang salib.

“Media utama seperti TV3 dan Utusan Malaysia telah mengekploitasi gambar tersebut dan mengapi-apikan perkauman,” katanya.

Mujurnya di Kelantan menurut beliau, ada pihak yang menemui gambar lama Tun (Mahathir) memakai tengkolok yang sama.

“Jadi pada hari mengundi kami tampal gambar Ku Li dan Tun sebelah menyebelah dengan tengkolok yang sama.

“Sebab itu pengundi Kelantan membuat keputusan yang jelas dalam pilihan raya itu menolak BN,” katanya.

Kejayaan PH menurut beliau, yang berjaya memulakan rundingan dalam perkara ini memecahkan tradisi yang begitu sukar.

“Dulu-dulu, untuk mula berunding perkara ini pun seperti mustahil.

“Kini walaupun belum muktamad, perbincangan terbuka telah diadakan dan nampak jelas semua parti sedia berlapang dada untuk mendengar pandangan berbeza.

“Saya yakin satu kata sepakat akan diperolehi pada waktu yang sesuai sebelum berlaku pilihan raya,” katanya.

Program di mana Datuk Saifuddin Nasution menjadi moderator itu turut memberi peluang kepada hadirin untuk mengemukakan soalan kepada kedua-dua panel.

Majlis turut dipanaskan dengan upacara lelongan potret pemimpin-pemimpin PH yang dikendalikan oleh Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan.

Pengarah program Datuk Dr Abdul Halim Yusuf dalam ucapan aluan ringkasnya mengucapkan terima kasih kepada para penderma yang terus menerus menghulur bantuan.

Tiada ulasan: