Ahad, 31 Disember 2017

Pengundi Sg Siput mahu pertandingan 1 lawan 1, kata wakil rakyat

 
Michael Jeyakumar khuatir pertandingan pelbagai penjuru akan memberi kemenangan kepada BN.


jeyakumar-sg-siput


PETALING JAYA: Wakil rakyat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Michael Jeyakumar khuatir kemungkinan Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen Sungai Siput jika PAS dan Pakatan Harapan (PH) bertarung sama pada pilihan raya umum nanti.

Michael berkata pertandingan pelbagai penjuru hanya akan mengembalikan BN di Sungai Siput walaupun ada petunjuk rakyat tidak berpuas hati dengan BN.

“Rakyat mahu pertandingan 1 lawan 1, bukan 4 atau 5 penjuru,” katanya.

Michael akui bantuan PAS banyak membantu beliau meraih 1/3 undi Melayu pada pilihan raya 2013.

Beliau berkata PAS sudah lama bergerak di Sungai Siput dan parti Islamis itu ada sokongan akar umbi yang kuat. “Tetapi sekarang PAS kata mereka mahu letakkan calon sendiri. PAS beritahu penyokong jangan undi orang lain.”

PH memberitahu PSM bahawa Jeyakumar boleh bertanding di Sungai Siput sekiranya beliau bertanding atas tiket PKR dan jika parti itu bersetuju tidak akan meletakkan calon di tempat lain.

“Itu bermakna Ahli Jawatankuasa Pusat S Arulchelvan, Setiausaha B Suresh dan Timbalan Pengerusi M Saraswathy tidak boleh bertanding pilihan raya,” katanya. “Kita tidak boleh terima syarat itu.”

Pada PRU13, Jeyakumar berjaya mempertahankan kerusi itu daripada calon MIC, SK Devamany, dan meraih majoriti 2,793 undi. Daripada kira-kira 40,000 pengundi yang membuang undi, 39% adalah orang Cina, 33% orang Melayu dan 21% orang India.

Beliau berkata hanya 55% orang India mengundi beliau.

Jeyakumar menempah nama pada 2008 apabila menumbangkan S Samy Vellu dari Sungai Siput.
Samy ketika itu presiden MIC dan antara anggota jemaah menteri paling kanan.

Beliau berkata ada desas-desus MIC mahu Samy bertanding kerusi itu “kerana sesetengah orang India dapat banyak peruntukan dan kontrak” kalau beliau mengambil semula kerusi itu.

“Tetapi golongan India miskin yang ada masalah dengan perumahan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, contohnya, mahu saya menang sekali lagi.”

Menurut beliau, PSM mempunyai reputasi yang bagus di Sungai Siput sebagai parti yang aktif membantu golongan terpinggir.

“Kita akan label semua kampung kecil, menjalankan tinjauan, memetakan kawasan dan membawa isu mereka ke perhatian kerajaan negeri,” katanya, dan menambah pasukan Peneroka Bandar PSM menjayakan kerja-kerja seperti itu.

Beliau berkata pasukan itu terpaksa menangani banyak isu, seperti kesukaran yang dihadapi masyarakat Orang Asli, para petani dan pekerja asing yang cuba mendapatkan pangsapuri kos rendah.

“Saya bawa isu itu ke Parlimen dan desak agensi kerajaan,” katanya. “Saya tak gunakan kaum atau agama.”

“Orang tahu PSM sertai politik bukan kerana wang tetapi demi masyarakat. Saya rasa rakyat hargai perkara itu.”



Tiada ulasan: