Sabtu, 9 Disember 2017

Penduduk kecewa projek baiki rumah BN pedalaman Sabah indah khabar dari rupa

 
Oleh



Walaupun Barisan Nasional (BN) mendakwa turut memberi bantuan kepada penduduk pedalaman yang memerlukan di pedalaman Sabah, hasilnya tidaklah seperti yang diharapkan.

Realitinya, kerja-kerja pembaikan rumah dengan peruntukan RM10,000 seperti yang diwar-warkan oleh Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup amat menghampakan kerana hasilnya ‘umpama melepas batuk ditangga’.

Clare Simbat ketika menyampaikan sumbangan kepada sebuah keluarga.

Penerima bantuan, Peter Kandui, 54, dari kampung kampung Simpang Batu 4, Daerah Sook – Pensiangan ketika ditemui mengakui berkata kerja membaiki rumah yang dilaksanakan pihak kontraktor tidaklah seperti yang digambarkan.

Berdasarkan pemerhatian, jumlah kos pembaikan terhadap rumah tersebut katanya kurang dari nilai RM10,000 malah apa yang mendukacitakan, hasil kerja juga tidak memuaskan hati, ‘cincai dan ala-kadar’.

“Saya hairan kerana kerja baiki bahagian dapur tidak menunjukkan pembaikan seperti yang dikatakan kerana lantai dapur yang hampir roboh (usang) sedikit pun tidak di baiki oleh kontraktor itu,” katanya.

Justeru, dia amat berharap agar Joseph Kurup melihat sendiri melihat ‘hasil’ kerja-kerja pembaikan yang didakwanya berjumlah RM10,000.

Sementara itu, Setiausaha Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) Sabah, Clare Taunek Simbat ketika menziarahi Peter melahirkan rasa terkejut dan kecewa terhadap keadaan tersebut.

Dalam masa yang sama, Clare turut menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan harian seperti makanan kepada sepasang suami isteri istimewa (OKU), Claranc Darunchok, 40, dan Elwey Majik, 22, yang baru menerima cahaya mata.

Beberapa penduduk turut mengadu berhubung permohonan skim rumah PPRT yang telah diluluskan beberapa tahun lalu namun sehingga saat ini masih belum mendapat maklumbalas susulan daripada pejabat daerah. – Roketkini.com


Tiada ulasan: