Isnin, 4 Disember 2017

Pastikan pemberi rasuah juga dihukum – TPM

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perasmian 'Millenials Empowerment Summit' di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 
 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya membawa pemberi rasuah ke muka pengadilan dan dihukum, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin suruhanjaya itu akan melihat aspek pemberi rasuah dikenakan  hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan dan ia perlu seimbang dengan hukuman yang diberikan kepada penerima rasuah.

“Saya yakin SPRM juga akan melihat aspek pemberian rasuah yang sering terlepas pandang dan tidak ramai yang memberi rasuah ini dihukum.

“Kita harus melihat keseimbangan antara pemberi dan penerima,” kata beliau semasa merasmian program Millennials Empowerment Summit 2017 anjuran Kelab UMNO Luar Negara di PWTC hari ini.

Ahmad Zahid menyifatkan penerima rasuah sering dikaitkan dengan mereka yang berkhidmat dalam sektor awam namun SPRM juga perlu melihat rasuah yang berlaku dalam sektor swasta kerana ada segelintir turut memberi rasuah bagi mendapatkan sesuatu manfaat.

“Kita juga sering mendengar penerima rasuah sering dikaitkan dengan pegawai dalam sektor awam atau pihak kerajaan

“Kita menyokong cadangan supaya SPRM melihat keterlibatan sektor swasta, badan korporat dan juga pelbagai individu terutama para usahawa yang kononnya cuba untuk memperlicikkan dan memudahkan perolehan kerja-kerja yang ditawarkan oleh kementerian, jabatan dan agensi dan juga mendahulukan sesuatu yang tidak patut didahulukan,” katanya.

Jelas beliau, rasuah bukan sahaja akan merosakkan kerajaan tetapi juga sektor swasta akan terkena tempiasnya dan mengambilkira kesan buruk itu, Ahmad Zahid mahu SPRM membawa pemberi rasuah ke muka pengadilan.

“Rasuah adalah satu jenayah yang bukan sahaja akan merosakkan sistem pentadbiran kerajaan malah imej pihak swasta dan oleh sebab itu siasatan, dakwaan dan hukuman perlulah adik dan dikenakan kepada kedua-dua pihak.

“Saya tidak nafikan ada yang beri (rasuah) terima hukuman tapi jarang dengar perkara itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: