Ahad, 31 Disember 2017

Nik Nazmi menang saman lawan bekas AG

KEADILAN DAILY

nik_nazmi_bebas_PAA


Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Putrajaya dan bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membayar sejumlah RM240,000 kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Arahan itu dikeluarkan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam saman Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu berhubung pendakwaan berniat jahat susulan penahanannya sebanyak dua kali di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hakim Ahmad Zaidi berpuas hati yang Abdul Gani dan kerajaan Malaysia gagal menyangkal dakwaan Nik Nazmi, 35, selaku plaintif bahawa pendakwaannya buat kali kedua di bawah akta itu berunsur niat jahat.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi khas untuk menampung kos guaman sepanjang tempoh pendakwaan sebanyak RM80,000, ganti rugi am sebanyak RM100,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM50,000 serta kos sebanyak RM10,000 kepada Nik Nazmi.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak defendan hanya memanggil dua saksi iaitu timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat bagi kes berkenaan ketika perbicaraan, manakala Abdul Gani sendiri tidak hadir untuk memberi keterangan.

“Apa yang dikatakan oleh timbalan pendakwa raya ketika perbicaraan tidak lebih dari keterangan dengar cakap. Saya tidak dapat faham kenapa defendan pertama arahkan plaintif dituduh di bawah seksyen sama pada kali kedua… apa yang mengejutkan arahan itu datang daripada orang yang penting,” katanya, memetik Bernama.

Ahmad Zaidi berkata tindakan defendan pertama yang mengarahkan pendakwaan kali kedua diteruskan walaupun selepas Mahkamah Rayuan memutuskan ia tidak berperlembagaan dan ketika rayuan di Mahkamah Persekutuan masih dalam proses, adalah tidak menghormati keputusan mahkamah.

Nik Nazmi pada 31 Mac 2015 menyaman Abdul Gani kerana mendakwanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya buat kali kedua pada 6 Mei, 2014 mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Abdul Gani yang merupakan peguam negara pada masa itu mendakwa Nik Nazmi walaupun Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014 telah membenarkan permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapinya mengikut akta sama.

Dalam tuntutannya, Nik Nazmi menegaskan beliau sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama pada 17 Mei, 2013 atas dakwaan menganjurkan perhimpunan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mei, 2013

Tiada ulasan: