Isnin, 25 Disember 2017

Kerajaan didesak dedah siapa ‘ikan bilis’ dan ‘jerung’ dalam kem maut Wang Kelian


Roketkini.com

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto hari ini menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya mendedahkan tangan-tangan ghaib di sebalik ‘pembunuhan’ 139 mangsa di kem maut Wang Kelian yang menggemparkan negara pada bulan Mei 2015.

Pendedahan itu katanya harus dibuat untuk mengetahui sama ada wujud penglibatan ‘ikan bilis’ mahupun ‘jerung’ dalam kes itu tanpa rasa takut.

Sekiranya gagal berbuat demikian, menteri terbabit perlu meletak jawatan kerana dilihat seolah-olah melindungi rangkaian penyeludupan manusia.

“Jika tiada sebarang tindakan diambil, ia satu pengakuan bersalah seolah-olah menjadi alat dalam rangkaian sindiket tersebut dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejak kontroversi itu terbongkar, kerajaan kelihatan berahsia dan berhati-hati mendedahkan maklumat penyiasatan terhadap sebarang kemungkinan ‘tangan ghaib’ yang terlibat dalam kekejaman itu.

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi begitu juga dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya mendedahkan sama ada wujud penglibatan ‘ikan bilis’ mahupun ‘jerung’ dalam kes itu,” katanya.

Berdasarkan Laporan risikan Cawangan Khas selama 10 tahun yang didedahkan The News Strait Times sebelum ini, terdapat 80 peratus pegawai penguatkuasa sempadan menerima rasuah dari sindiket dadah, senjata dan penyeludupan manusia.

“Menteri Dalam Negeri juga mengakui bahawa pegawai penguatkuasa juga terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia terdiri dari pegawai berpangkat rendah.

“Ini merupakan pengakuan terdapat pegawai penguatkuasa terlibat dalam kem maut tersebut,” kata Kasthuri.

Lebih mengejutkan, pegawai yang didakwa menjadi alat dalam sindiket terbabit bebas kerana tidak cukup bahan bukti.

Katanya lagi, Kementerian Dalam Negeri dilihat cuba mengelak dari memberi jawapan sebenar sehinggalah kes tersebut dibongkar oleh laporan wartawan yang menjalankan penyiasatan dan didedahkan baru-baru ini. – Roketkini.com


Tiada ulasan: