Jumaat, 8 Disember 2017

KEMASKINI Pemuda Umno-PAS gabung tenaga bantah depan kedutaan AS

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kedua-dua Pemuda Umno dan PAS hari ini bersatu dalam menyatakan bantahan terhadap keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengangkat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, semalam.
 
Bantahan dibuat di hadapan kedutaan Amerika Syarikat pada jam 2.00 petang tadi dengan turut disertai lebih kurang 5,000 peserta termasuk daripada 51 buah badan bukan kerajaan (NGO).
 
Pemuda Umno yang diwakili ketuanya, Khairy Jamaluddin menyifatkan tindakan presiden Amerika Syarikat itu sememangnya telah mencetuskan kemarahan terhadap dunia dan umat Islam.
 
Malah katanya, apa yang diisytiharkan oleh presiden negara berkuasa besar itu adalah satu pengisytiharan haram.
 
“Ini pengisytiharan haram! Pegang kata-kata saya lelaki berpengaruh dalam dunia bebas sekalipun sepatutnya hormat undang-undang antarabangsa. 
 
“Trump bukan sahaja menyinggung perasaan orang muslim tetapi seluruh dunia yang mahu melihat keadilan,” katanya kepada pemberita petang tadi.
 
Semalam Trump mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis yang juga penunjuk kiblat pertama bagi umat Islam itu sebagai ibu negara Israel.
 
Tidak cukup dengan itu, beliau turut mengumumkan pelan bagi memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
 
Bagaimanapun Trump menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut tidak akan mengubah status quo Baitulmaqdis sebagai kota suci tiga agama.
 
 
 
Sayap pemuda Dewan pemuda PAS, yang turut menyertai demonstrasi itu diketuai Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
 
Pada himpunan itu, Khairy mewakili pemuda Umno menyerahkan sendiri memorandum kepada wakil Kedutaan Amerika Syarikat kira-kira pukul 2.30 petang.
 
Mengulas lanjut, Khairy ketika berucap kepada para peserta himpunan tersebut menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh Trump itu tidak boleh diterima sama sekali baik bagi pemuda Umno, PAS dan para wakil NGO.
 
Ujarnya, tindakan Trump itu sebagai satu permulaan kepada penentangan dunia kerana ia hanya menguntungkan negara zionis itu sahaja.
 
"Hentikan segera penindasan terhadap Palestin. Ini bukan hanya disebabkan Islam. Pemimpin agama Vatican City, Pope Francis sudah menyatakan mewakili Katolik, negara-negara Eropah juga sudah menyatakan ketegasan dengan jelas. 
 
"Ketika menyerahkan memorandum kepada Kedutaan AS, saya telah nyatakan pada mereka ini adalah tindakan keterlaluan dan tidak boleh diterima langsung. Kita tidak akan berhenti sehingga mereka pulangkan kembali tanah Palestin," katanya lagi.
 
Antara yang turut kelihatan ialah Timbalannya, Khairul Azwan Harin , dan Exco Pemuda, Dr Fathul Bari.
 
Terdahulu, para peserta himpunan berarak dari Kompleks Tabung Haji ke Kedutaan Amerika Syarikat dengan mendapat kerjasama pihak berkuasa pihak berkuasa polis.
 
Himpunan itu berakhir kira-kira jam 3.00 petang tadi.
 
 

Tiada ulasan: