Selasa, 5 Disember 2017

Jangan musnahkan harapan untuk tumbangkan BN

AKHBAR RAKYAT

 
Oleh Nasir Mustafa

Kenangan lima tahun Pakatan Rakyat mentadbir Kedah sangat menyeronokkan. Seronok bagi khadam rakyat seperti saya ialah memperoleh laluan yang selesa dalam bekerja membantu rakyat. Tiada kepuasan yang terbaik selain daripada dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat. Semuanya gara-gara mendapat peluang menjadi parti yang menerajui kerajaan.

Meneraju, mentadbir, mengarah – mengikut prinsip yang kita perjuangkan adalah perkara yang hanya boleh dibuat kerana memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan.

Semua hairaki perjawatan hingga ke akar umbi sekalipun (MKK) mudah mengatur urusan. Tidak sukar menggunakan premis-premis seperti balai raya, dewan, masjid, padang mahupun stadium sekalipun apabila menganjurkan program. Dari program kecil seperti kuliah agama di Seri Mentaloon sehingga projek besar seperti pemerkasaan KUIN dan Kompleks Aman Central yang dimulakan semasa PR, masih berterusan hingga ke hari ini. Semoga besarnya saham akhirat yang diperolehi oleh Almarhum Ustaz Azizan serta semua pihak yang mengasaskannya.

Banyak lagi perkara yang belum sempat dibuat. Maklumlah hanya lima tahun tempoh pentadbiran. Terlalu panjang lebar kalau mahu diperincikan faedah menjadi kerajaan. Semuanya hanya terasa apabila kita kehilangan kerajaan.

Selepas peluang menjadi kerajaan tertutup selama satu penggal, kini kita di ambang PRU14 bermakna satu lagi peluang dibuka. Kali ini peluang untuk BN ditumbangkan sangatlah besar.

Penolakan majoriti rakyat terhadap kerajaan BN sangat nyata. Semua badan penyelidik yang membuat kajian terhadap Najib dan BN mendapati penolakan terhadap BN kini adalah yang paling teruk sejak merdeka. Nasib BN diburukkan lagi apabila Umno yang menjadi tonggak BN berpecah.

Tertubuhnya parti Bersatu, mendapat sokongan kuat ahli-ahli Umno di akar umbi. Ia satu lagi penyeksaan kepada Umno pimpinan Najib.

Cuma ada satu halangan besar untuk menumbangkan BN ialah apabila pembangkang pula terpisah kepada dua kumpulan: Pakatan Harapan dan Gagasan Sejahtera. Jika undi popular terhadap BN tinggal 40 peratus sekalipun, mereka masih boleh menang jika pembangkang masing-masing mendapat 30 peratus.

Saya sering mengulangi perkara yang sama dengan keyakinan bahawa BN wajib ditumbangkan dan kepercayaan bahawa pembangkang mesti mempastikan berlaku pertandingan satu lawan satu jika BN mahu ditumbangkan. Saya tetap berpegang kepada kenyataan tersebut meskipun pendirian saya ini sering ditempelak oleh kedua-dua belah pihak yang kini sedang leka dibuai permusuhan.

Di Kedah, PAS adalah parti pembangkang yang terkuat, mempunyai cawangan di hampir semua tempat yang wujud cawangan Umno. PAS memiliki jentera hingga ke unit peti undi. Namun jika PAS bertanding kesemua 36 kerusi DUN, mampukah PAS mempertahankan Kubang Rotan, Anak Bukit, Pengkalan Kundor, Alor Mengkudu, Kuala Ketil, Merbau Pulas (dalam pertandingan tiga penjuru) di mana pada PRU12 dan 13 undi bukan Melayu jadi penentu kini lari pula kepada PH?

 Mampukah PAS menang di Lunas, Kulim, Bandar Baharu, Bukit Selambau, Tanjung Dawai, Gurun, Bakar Arang, Sidam, Kota Darul Aman dan Derga yang agak besar pengundi bukan Melayu?

Mampukah PAS menang di Bukit Kayu Hitam, Jitra, Bayu, Kuah, Air Hangat, Pedu yang masih menjadi kubu BN?

Bagaimana pula dengan PH yang tiada jentera hingga ke akar umbi sedangkan pilihan raya memerlukan jentera yang wujud di semua peringkat. Bolehkah DAP pertahan Derga jika undi Melayu tidak lagi memihak kepadanya? Bolehkah PKR pertahan Sidam dan Bakar Arang tanpa undi Melayu yang diterima seperti PRU13 lalu? Bolehkah parti AMANAH yang hampir tiada cawangan di kampung-kampung mampu mengalahkan PAS atau BN yang bertapak di kampung-kampung lebih separuh abad?

Bagi saya pertandingan tiga penjuru di Kedah hanyalah satu proses untuk mengesahkan penguasaan BN.

Saya bukan mahu “mengajar” tetapi cuma mengajak kesemua pihak dalam pembangkang berfikir.

 Saya tidak fikir bahawa berfikir itu salah sedangkan begitu banyak ayat-ayat dalam al-Quran mengajak manusia berfikir. Boleh jadi buah fikiran saya tidak tepat, tak apalah boleh betulkan. Saya berterima kasih jika ada pihak yang sedia berbincang dalam suasana penuh ukhuwah berasaskan politik matang dan sejahtera. Itu cara umat Rasulullah S.A.W dan golongan beriman menangani perbezaan pandangan. Sedangkan politik bebal dan ego yang wujud pada mana-mana parti jua pun (jika ada) adalah merugikan diri sendiri dan rakyat. –

* Nasir Mustafa adalah Adun Kubang Rotan 

Tiada ulasan: