Ahad, 10 Disember 2017

DAP belum bincang tindakan ke atas Zaid

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: DAP belum membincangkan sebarang bentuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap ahlinya Datuk Zaid Ibrahim susulan tweet 'keterlaluan' kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang juga ahli jawatankuasa DAP Selangor, Ronnie Liu turut meminta supaya semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung hal itu.
 
"DAP setahu saya belum ada perbincangan lagi. Kita belum ada perbincangan lagi. Jadi jangan buat sebarang spekulasi," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Beliau mengulas gesaan Umno Selangor yang mencabar kepimpinan parti dominasi Cina itu supaya memecat Zaid bagi membuktikan DAP tidak mempunyai kaitan dengan kenyataan itu.
 
Zaid mencetuskan kontroversi apabila 'menegur' Sultan Sharafuddin dengan menulis tweet berbunyi: "Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”
 
Zaid menulis tweet berkenaan sebagai reaksi kepada kenyataan Sultan Sharafuddin yang berkata agenda politik Tun Dr Mahathir Mohamad didorong “kebencian” dan akan “membakar seluruh negara dengan api kemarahannya”.
 
Kenyataan Zaid itu mengundang kemarahan, terutamanya daripada Umno yang mahu tindakan diambil terhadap beliau kerana bersikap biadap terhadap Sultan.
 
Kelmarin Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, ahli DAP “bebas menyuarakan pandangan mereka, tetapi mesti sanggup berdepan akibatnya”.
 
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pula dilaporkan sebagai berkata Zaid perlu bertanggungjawab terhadap atas tindakan beliau.
 
Dalam pada itu awal hari ini, sekumpulan ahli DAP yang diketuai Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng tampil  membuat laporan polis terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, bagi mempertahankan Zaid.
 
Ia susulan ugutan Jamal yang mahu 'menghentak' kepada bekas menteri hal ehwal undang-undang itu.
 
Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia direman dua hari bermula hari dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
 
 

Tiada ulasan: