Selasa, 5 Disember 2017

Anggota kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati paling dikehendaki polis

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Penjenayah yang ditembak mati pihak berkuasa Malaysia di perairan Pulau Kantong Kalungan di kawasan Laut Silam, Lahad Datu, Sabah, semalam, dipercayai anggota kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG) paling dikehendaki polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata lelaki itu yang sering terlibat dalam beberapa kes jenayah termasuk penculikan untuk wang tebusan di perairan Sabah, telah lama berada dalam senarai polis sebelum ditembak mati.

“Lelaki itu sering terlibat dengan siri rompakan dengan beberapa kumpulan lain yang beroperasi di selatan Filipina.

“Kami mengetahui lelaki ini menyusup masuk ke perairan negara kita hasil maklumat risikan dan operasi rapi yang dibuat bersama pihak berkuasa sana (Filipina),” katanya pada sidang media selepas sambutan ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (​​​​​​FRU) ke-62 di Pangkalan FRU Cheras, di sini hari ini.

Mohamad Fuzi berkata pihak berkuasa Malaysia diketuai pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) masih berusaha mengesan dan memburu saki-baki anggota kumpulan terbabit.

“Pemantauan sedang dibuat …kalau perlu kami akan mengambil tindakan sewajarnya dan menjalankan operasi memburu kumpulan ASG ini,” katanya.

Semalam, pasukan keselamatan menembak mati penjenayah berumur lingkungan 30-an itu selepas berbalas tembakan pada kira-kira 3 pagi, di perairan pulau berkenaan.–Bernama

Tiada ulasan: