Selasa, 21 November 2017

RoS jumpa Setiausaha Agung PPBM petang ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MELAKA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di jabatan itu di Kementerian Dalam Negeri (KDN) petang ini bagi membincangkan mengenai isu dalaman parti untuk menyelesaikan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
 
Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata, hasil pertemuan antara pucuk pimpinan parti itu dengan Ketua Setiausaha KDN semalam, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta supaya pertemuan tersebut dipercepatkan bagi membolehkan parti itu mengadakan mesyuarat agung tahunan.
 
“Apabila Tan Sri (Muhyiddin) memohon supaya pertemuan tersebut dipercepatkan, RoS memaklumkan akan bertemu dengan Setiausaha Agungnya pukul 5 petang ini bagi mendengar apa tindakan PPBM bagi memastikan mereka dapat mengadakan mesyuarat agung pada tahun ini juga.
 
“PPBM perlu mematuhi perlembagaan parti sendiri iaitu mereka mesti mengadakan mesyuarat agung pada setiap tahun dan pertemuan tertutup itu membolehkan saya mendengar apa persiapan mereka bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Outreach Pengurusan Pertubuhan Berintegriti dan majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah bersama Pertubuhan Pendaftar NGO negeri Melaka di Duyong di sini sebentar tadi.
 
Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, Abu Talib Othman dan Pengarah RoS negeri, Nurhafidah Ali.
 
Jumaat lalu, RoS memberi amaran kepada PPBM bahawa parti itu boleh dibatalkan selepas melakukan tiga kesalahan iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti. 
 
 

Tiada ulasan: