Khamis, 16 November 2017

Pita data CIMB hilang akibat cuai, kata KPN

 
Selasa lepas, CIMB Group Holdings Bhd meningkatkan langkah keselamatan di semua salurannya, berikutan beberapa pita magnetik mengandungi data sokongan telah hilang.


Fuzi

KUALA LUMPUR: Isu kehilangan pita data sokongan CIMB pada 13 November disebabkan kecuaian kakitangan bank itu dan tidak melibatkan sebarang unsur sabotaj, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata laporan berhubung kehilangan pita berkenaan dibuat pihak bank pada hari kejadian itu disedari berlaku di Balai Polis Seapark, Petaling Jaya dan siasatan dilakukan mengikut Sekyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Isu ini membabitkan masalah dalaman CIMB dan mereka juga sudah mengambil langkah keselamatan yang perlu serta mengeluarkan kenyataan mengenainya.
 “Jika mereka perlukan bantuan polis, kita akan bantu dan kes berkenaan dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan penutupan perhimpunan pegawai awam polis di Maktab PDRM Cheras hari ini.

Pada Selasa lepas, CIMB Group Holdings Bhd meningkatkan langkah keselamatan di semua salurannya, berikutan beberapa pita magnetik mengandungi data sokongan telah hilang dalam perjalanan semasa satu operasi rutin.

Bagaimanapun, CIMB Group mengesahkan pita tersebut tidak mengandungi sebarang maklumat pengesahan peribadi seperti Nombor Pengesahan Peribadi (PIN), kata laluan atau nombor Nilai Pengesahan Kad (CVV).

Tiada ulasan: