Rabu, 15 November 2017

PH masih tunggu maklum balas RoS

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir memaklumkan sehingga kini pihaknya masih tidak menerima sebarang khabar berita daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengenai pendaftaran gabungan itu.
 
“Setakat ini, kami tak terima apa-apa maklum balas daripada RoS. Tiada penolakan atau kelulusan, tiada apa-apa,” katanya ketika sidang media PH di Dewan Rakyat, petang tadi.
 
Dr Mahathir berkata gabungan itu bercadangan untuk menemui menteri yang bertanggungjawab ke atas RoS namun menteri itu tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat hari ini.
 
Untuk rekod PH memohon kepada RoS untuk didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti-parti politik pada 28 Julai lalu.
 
RoS menolak permohonan itu dan meminta PH membuat beberapa perubahan berdasarkan spesifikasi yang ditetapkan. 
 
PH juga menghantar beberapa logo baru yang menepati kehendak RoS namun gabungan pembangkang itu sehingga kini masih belum mendapat sebarang maklum balas.
 
Pada 23 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan lisannya memberitahu RoS akan meneliti secara terperinci setiap permohonan pendaftaran pertubuhan, dengan alasan supaya aspek keselamatan dan kepentingan awam terpelihara.
 
Malah RoS juga memaklumkan permohonan pendaftaran PH masih di dalam pertimbangan, dan tiada syarat tambahan dikenakan.
 
“Kami mahu tahu sama ada permohonan kami diluluskan atau tidak. Jika tiada bantahan, kami sedia untuk mengikuti semua syarat ditetapkan RoS,” kata Dr Mahathir lagi.
 
Sementara itu Dr Mahathir juga diajukan perihal Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan.
 
“Ketika ini, parti masih belum terurus sepenuhnya kerana untuk adakan AGM, kita perlu ada mesyuarat peringkat cawangan, kemudian bahagian dan selepas itu barulah boleh ada AGM.
 
“Di peringkat cawangan, walaupun ada ahli tetapi mereka masih tak tersusun dalam cawangan, malah sesetengah bahagian pun masih belum tersusun. Jadi kami tak boleh tentukan siapa yang akan hadir mesyuarat,” katanya, beliau turut menafikan yang parti itu tidak mempunyai cukup ahli untuk mengadakan AGM.
 
“Dalam apa juga keadaan, peruntukan dalam Perlembagaan parti mengatakan yang parti boleh menunda AGM ke tarikh lain. Sudah pasti kami perlu patuhi perkara ditetapkan Perlembagaan tetapi pada masa sama kami juga perlu mempertimbangkan organisasi parti,” ujar bekas perdana menteri itu lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: