Khamis, 16 November 2017

Pasang pendakap gigi secara haram, gadis didakwa

 
Tertuduh didakwa mengiklankan perkhidmatannya menerusi laman sosial Instagram dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi satu rawatan.


Braces

KUANTAN: Seorang bekas penyambut tetamu hotel hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan memberi perkhidmatan memasang pendakap gigi secara haram, pada September lepas.

Arnalin Ibrahim, 23, dari Tuaran, Sabah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Unaizah Mohd.

Tertuduh didakwa menawarkan rawatan pemasangan pendakap gigi tanpa pendaftaran sah oleh Ketua Pengarah Kesihatan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) pada 12.20 petang, 9 September lepas di sebuah rumah di Lorong Galing 46, Off Jalan Haji Ahmad di sini.

Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1) akta sama yang boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama, memperuntuk denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga 6 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Kesihatan Nurul Khairiyah Samsudin menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin atas alasan tertuduh tidak memberikan kerjasama kepada pihak pendakwaan.

“Tertuduh sepatutnya hadir ke mahkamah 13 Oktober lepas tetapi gagal berbuat demikian menyebabkan waran tangkap dikeluarkan. Sejak itu, tertuduh sering berpindah dan menukar nombor telefon bimbitnya.

“Tertuduh ditangkap pagi ini di rumah sewanya di Taman Seri Inderapura di sini dan terus dihadapkan ke mahkamah kerana bimbang tertuduh akan melarikan diri lagi,” katanya.

Arnalin merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan beliau tidak bekerja dan pendapatan sebagai penyambut tetamu sebelum ini hanya memperoleh RM900 sebulan yang digunakan untuk menanggung seorang adik manakala ibu mertuanya yang akan menjadi penjamin, menanggung 2 anak.

Hakim Unaizah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap hujung bulan.

Beliau menetapkan sebutan semula kes itu pada 30 November bagi penyerahan dokumen.

Tertuduh dipercayai aktif menawarkan perkhidmatan itu sejak 2 tahun lepas setelah belajar tentangnya menerusi internet dan daripada seorang ”guru” yang bukan seorang doktor di daerah ini.

Tertuduh didakwa mengiklankan perkhidmatan itu menerusi laman sosial Instagram dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 bagi satu rawatan, sebelum kegiatannya terbongkar ekoran aduan seorang “pesakit” yang menghadapi masalah selepas memasang pendakap gigi.

Tiada ulasan: