Selasa, 14 November 2017

MP: IKSIM pun dapat peruntukan Bajet 2018?

MALAYSAKINI



Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mujahid Yusof Rawa mengecam badan kerajaan, Institut Kajian Strategik Islam Antarabangsa (IKSIM) yang menurutnya melakukan 'pembunuhan karakter' kepada segelintir tokoh dalam bidang agama dan politik.

Mujahid mendakwa, badan itu antaranya mengaitkan beberapa tokoh politik, termasuk dirinya, sebagai membawa agenda "sekularisme, pluralisme dan agenda menghakis Islam dan meruntuhkan kedaulatan negara".

"Salah satu program mereka bernama Transformasi Pemikiran Islam (TRAPI), cukup baik namanya. Tetapi dalam beberapa program (serangan seumpama itu dibuat).

"Sedangkan ada yang diserang itu merupakan tokoh yang dihormati dalam masyarakat dan mempunyai nama baik dalam keilmuan Islam.

"Kita juga tidak sokong LGBT, sebagaimana yang selalu didakwa...Tetapi mengapa mereka bawa isu ini dan kaitkan orang yang salah. Saya khuatir ini pembunuhan karakter dan politik, bukan untuk menangani gejala yang disebut," katanya yang tidak menyebut nama tokoh lain yang diserang itu.

Beliau membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat hari ini, ketika membahaskan pertambahan peruntukan mendadak kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Bajet 2018, iaitu dengan jumlah RM810 juta berbanding RM744 juta tahun ini.

Menurut laporan Utusan bertarikh 17 April 2012, Jakim akan menubuhkan IKSIM bagi menangani perkara yang menggugat akidah umat Islam, termasuk berkaitan LGBT.

Menurut laman rasminya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertindak sebagai pengerusi IKSIM, manakala Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha sebagai timbalannya.

Mujahid juga mempersoalkan sama ada IKSIM turut mendapat dana daripada jumlah peruntukan yang diterima Jakim itu.

"Adakah Iksim juga mendapat peruntukan? Jakim sepatutnya membawa kredibiliti sebagai institusi yang membela Islam dengan makna sebenarnya.

"Jika ini berlaku di bawah (restu) Jakim, mereka bertanggungjawab atas fitnah besar ini dan kalau perlu saya akan bawa ke mahkamah," katanya lagi.

Pada 17 Oktober lalu, seorang lagi pemimpin AMANAH Khalid Samad mengeluarkan notis tuntutan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Prof Datuk Mahamad Naser Disa, kerana didakwa memfitnahnya dalam isu rang undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355).

Tiada ulasan: