Jumaat, 17 November 2017

Mahkamah Tolak Injunksi Husam, PAS Solat Hajat Di Wisma Tok Guru





KOTA BHARU: Adun Salor Datuk Husam Musa hari ini gagal dalam usahanya untuk mendapatkan injunksi Mahkamah Tinggi bagi menghalang pemilik tanah, yang menempatkan Wisma Tok Guru di Salor di sini, daripada membenarkan mana-mana pihak mengadakan aktiviti di tanah berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache mengenepikan permohonan Husam itu dengan kos sebanyak RM7,000.

Dalam keputusannya, Ahmad berkata mahkamah membuat keputusan itu dengan mengambil kira defendan Mohd Yasin Yusoff, selaku pemilik baharu tanah tersebut, mempunyai hak kerana sudah membayar serta membeli hartanah itu secara sah.

Beliau berkata dalam membuat keputusan tersebut, mahkamah mengambil kira serta meniliti semua hujahan dan bukti yang dikemukakan oleh pihak plaintif dan defendan.

Husam, yang juga naib presiden Amanah, membuat permohonan injunksi itu bagi menghalang wisma berkenaan daripada diganggu mana-mana pihak sehingga status quo pemilikan bangunan berkenaan diputuskan oleh mahkamah pada perbicaraan 4 Disember ini.

Isu perebutan tanah itu bermula selepas tanah tersebut, yang asalnya dimiliki bekas Adun Salor, Datuk Ahmad Rosli Ibrahim yang menamakan isterinya sebagai pemilik, dijual kepada Mohd Yasin yang juga setiausaha kerja PAS Kelantan, dengan harga RM700,000.

Pada masa sama, wisma itu masih digunakan sebagai Pejabat Adun Salor oleh Husam, yang mendakwa mendapat kebenaran daripada pemilik asal tanah berkenaan.

Dalam pada itu, PAS memberi notis kepada Husam untuk meninggalkan wisma tersebut dalam tempoh sebulan yang berakhir pada 12 November lepas dan PAS juga merancang untuk mengadakan solat hajat kesyukuran berhubung pemilikan baharu tanah tersebut di tempat berkenaan pada malam ini.

Semasa bercakap kepada pemberita, peguam Datuk Takiyuddin Hassan yang mewakili defendan berkata solat hajat itu akan diteruskan kerana mendapat permit daripada polis – BERNAMA

Tiada ulasan: