Selasa, 14 November 2017

BN keluar DUN P Pinang kerana usul pembangunan lereng bukit diubah

 
Mereka mendakwa usul baharu itu tidak adil kepada usul asal yang bertujuan untuk mengawal pembangunan lereng bukit.


jahara-hamid-bangunan-dun-penang


GEORGE TOWN: Sembilan Adun Barisan Nasional (BN) hari ini melangkah keluar dari Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang selepas usul mereka tentang larangan pembangunan lereng bukit diubah oleh kerajaan negeri.

Usul yang baharu diubah meletakkan larangan pembangunan lereng bukit pada bahu kerajaan persekutuan, melalui jawatankuasa keselamatan bersama dengan kerajaan negeri.

Wakil rakyat BN berkata urusan tanah seharusnya kekal atas perintah kerajaan negeri, bukan kerajaan persekutuan. Mereka juga berkata usul baharu itu tidak adil kepada usul asal, yang bertujuan mengsawal pembangunan.

Sembilan Adun BN kemudian meninggalkan Dewan sebagai protes. Seorang lagi wakil rakyat BN, Adun Bayan Lepas Nordin Ahmad tidak hadir.

“Inilah yang kamu panggil politik kotor. Wakil rakyat Pakatan Harapan menindas suara minoriti di dalam Dewan.

“Mereka khianat dengan melakukan pindaan. Dengan pindaan itu, mereka menjadikan usul itu usul mereka.

“Sebagai tanda proses, kami keluar Dewan,” kata Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid kepada pemberita di luar Dewan Undangan Negeri.

Usul itu pada mulanya dicadangkan Muhammad Farid Saad (BN-Pulau Betong).

Beliau meminta sebuah usul dikemukakan untuk menghalang semua pembangunan lereng bukit, memandangkan kejadian banjir kilat yang berlaku di negeri itu.

Beliau juga menggesa rancangan saliran yang berkesan disediakan terlebih dahulu, dengan jaminan daripada pemaju yang mereka akan bertanggungjawab untuk sebarang kejadian banjir yang mungkin berlaku di masa depan. Keizinan akan diberikan hanya selepas perkara itu dipenuhi, tambahnya.

Farid turut mencadangkan projek pembangunan di tanah pada ketinggian melebihi 76m dilarang.

Semua pembangunan di masa depan mesti mematuhi panduan perancangan bandar rasmi iaitu Rancangan Struktur Negeri.

Usul itu dimasukkan ke dalam aturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri. Bagaimanapun usul itu diubah, dan versi baharu itu dibacakan pada penghujung sesi.
  Perubahan paling ketara pada usul itu ialah pembentukan sebuah jawatankuasa bersama untuk menangani implikasi perubahan iklim, dan tambahan pemantauan “lebih ketat” ke atas projek di “kawasan sensitif”.

Jawatankuasa bersama itu, dianggotai wakil kerajaan negeri dan persekutuan, akan mengadakan audit ke atas semua projek pembangunan di Pulau Pinang, bagi memastikan penguatkuasaan keselamatan yang lebih baik di tapak pembinaan.

Farid berkata usul baharu itu nampaknya meletakkan beban pembangunan lereng bukit pada kerajaan persekutuan, tetapi hakikatnya, semua urusan tanah bawah kuasa kerajaan negeri.

“Ini bukan kali pertama mereka ubah usul kami. Kerajaan negeri menggunakan kuasa majoriti untuk mengubah usul itu.

“Pertama sekali, mereka bersetuju dengan usul kami. Usul kami diluluskan oleh speaker. Selepas itu, mereka kemudian ubah usul ikut suka mereka.

“Ini tidak baik sama sekali. Walaupun dibenarkan undang-undang, tetapi salah dari segi moral,” katanya.

Sebelum melangkah keluar, Timbalan Ketua Menteri I Mohd Rashid Hasnon (PKR-Pantai Jerejak) membacakan apa yang sepatutnya menjadi usul Farid.

Speaker Law Choo Kiang (PKR-Bukit Tamban) memanggil undian, dan semua 29 wakil rakyat PH dan seorang daripada PAS bangun menyokong.

Farid kemudian bangun dan berkata beliau menolak usul itu kerana ia “ciplak”.

Ketua Menteri Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) bagaimanapun berkata tiada ciplak kerana Dewan berhak mengubah mana-mana usul.

Jahara (BN-Telok Ayer Tawar) kecewa usul itu diubah kerana niat asal usul itu secara asasnya tiada lagi.

Lim, Farid dan Jahara kemudiannya berdebat mengenai hak meminda usul.

Semasa wakil rakyat BN melangkah keluar, Lim memberi amaran kepada mereka supaya jangan tinggalkan Dewan.

“Jangan lari. Pengecut,” katanya, disambut oleh wakil rakyat PH lain yang turut mengkritik wakil rakyat BN.

Selepas BN meninggalkan Dewan, speaker berkata semua usul dicadangkan dan dibahas mengikut aturan Dewan.

Beliau berkata beberapa usul kerajaan juga ditolak dan beliau berlaku adil pada semua.

Tiada ulasan: