Khamis, 19 Oktober 2017

Wira Perkasa gesa kerajaan buang kerakyatan Sarajun Hoda

Manzaidi Mohd Amin
Burhanudin Ruslan

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas seorang aktivis Bersih, Sarajun Hoda Hassan yang mengeluarkan kenyataan menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

Ketua Wiranya, Burhanudin Ruslan menyifatkan, saranan bekas bekas Timbalan Pengerusi Bersih itu mahu menghapuskan sistem Mahkamah Syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai menghina Institusi Raja Melayu yang menjadi ketua agama Islam.

“Tindakannya sangat biadab. Siapa dia mahu bertindak sedemikian? Dia seolah menunjukkan dirinya seorang manusia liberal yang cuba menyesatkan orang ramai melalui kenyataannya dalam media sosial.

“Sepatutnya, seorang muslim tidak akan menentang kewujudan Mahkamah Syariah yang melaksanakan hukuman syariah terhadap umat Islam dan hukuman itu sekali-kali tidak menyentuh orang bukan Islam,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya semalam, Sarajun menggesa kerajaan menghapuskan segera sistem Mahkamah Syariah dan cuba menurunkan kuasa Majlis Agama Islam kepada hanya mengurus masjid, urusan perkahwinan dan mengedar zakat sahaja.

Bekas pemimpin gerakan tidak berdaftar dan sering menganjurkan perhimpunan haram itu turut dilaporkan berkata, hukuman syariah kononnya undang-undang ciptaan manusia dan tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Allah atau bersumberkan dalil nas al-Quran.

Menurut Burhanudin, Sarajun Hoda cuba memutar belitkan fakta sejarah dengan mendakwa hukuman syariah adalah ciptaan penjajah Inggeris.

Tegas beliau, kerajaan patut menarik balik kerakyatan aktivis itu yang jelas menolak Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan biadab ini sepatutnya boleh dibuang kerakyatan kerana dengan jelas dia telah menolak Perlembagaan Persekutuan dan jika dia sedar dia rakyat Malaysia, dia seharusnya tidak mengambil tindakan biadab dan bodoh seperti ini.

“Wira Perkasa Malaysia akan sentiasa mempertahankan Kedaulatan Undang-Undang dan Institusi Raja mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kita juga akan memastikan tiada individu atau mana-mana kumpulan boleh mengganggu gugat keamanan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: