Ahad, 15 Oktober 2017

Wan Ji direman 2 hari, polis akan geledah rumah

 
Peguam, Saiful Izham Ramli berkata, polis enggan mendedahkan butiran laporan dan video ketika prosiding reman.


Saiful-Izham-Ramli-Wan-Ji-remanded-2-days-malaysia

KUALA LUMPUR: Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin yang ditahan semalam akan direman selama 2 hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan berhubung sebuah rakaman video di YouTube.

“Polis memohon perintah tahanan reman 4 hari, tetapi majistret hanya membenarkan 2 hari untuk melengkapkan siasatan mereka,” kata peguamnya, Saiful Izham Ramli kepada FMT.

Beliau yang dibantu Zulhazmi Shariff berkaa, siasatan polis itu tiada kaitan dengan dakwaan Wan Ji menghina seorang “Tuanku”.

Katanya, mereka akan kembali ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang esok kerana siasatan itu patut selesai ketika itu.

Saiful berkata, polis merampas telefon bimbit Wan Ji dan akan membawanya ke Sungai Buloh untuk menggeledah rumahnya.

“Kami tiada butiran video mahupun laporan polis itu,” katanya sambil menambah anak guamnya tidak akan memberi sebarang keterangan kepada polis.

Wan JI ditahan sejurus menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam berkata, Wan Ji ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan bagi membantu siasatan ke atas video tular yang didakwa menghina “Tuanku”.

Katanya, polis bertindak ke atas laporan polis yang diterima beberapa hari lalu ke atas ketua exco agama Pemuda PKR itu.

Penahanan Wan Ji berlaku beberapa hari selepas penceramah agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, yang direman 3 hari di bawah Akta Hasutan, memuat naik gambar Wan Ji dengan ayat “Wan Ji mahu sistem raja dihapuskan”.

Semalam, Bernama melaporkan jawatankuasa Surau Mohd Al-Fateh di Taman Pauh Jaya baru-baru ini membuat laporan polis terhadap Wan Ji yang didakwa menghina institusi diraja dan kesultanan negara menerusi ceramahnya. Satu lagi laporan polis dibuat di Kuala Lumpur.

Wan Ji pernah didakwa di mahkamah pada 2014 atas dakwaan membuat kenyataan berbaur hasutan bagi menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui Facebook.

Tiada ulasan: