Khamis, 12 Oktober 2017

SPRM tangkap pemimpin Warisan usaha Umno burukkan Sabah, kata Warisan

Warisan berkata ia sesuatu yang sudah lama dilakukan Umno dalam meluaskan kuasanya di Sabah dan Sarawak.

Honorsius-Bosuin-sprm-tangkap-sabah-parti-warisan-sabah

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menuduh Umno cuba menguasai politik Sabah menrusi agensi persekutuan, di sebalik siri penangkapan berkait rasuah melibatkan pemimpin parti berpengkalan Sabah itu.

Ketua Penerangan Warisan, Honorsius Bosuin berkata tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan penyelewengan dana pembangunan luar bandar negeri itu berjumlah RM1.5 bilion.

Beliau berkata SPRM adalah sebahagian usaha Umno menjatuhkan parti itu dan presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal yang pernah mengetuai Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dengan media dipergunakan sebagai alat propaganda.


Tujuh individu termasuk Naib Presiden Warisan, Peter Anthony dan Ketua Pemuda Datuk Azis Jamman kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

Bosuin dalam kenyataan menyeru ahli parti menolak “persepsi yang dibentuk” dan menerangkan perkara sebenar kepada masyarakat umum.

Menurut Bosuin, penahanan pemimpin politik dari Sabah dan Sarawak sudah lama berlaku.
“Pemimpin Borneo pertama yang menerima tindakan sedemikian oleh persekutuan ialah bekas ketua menteri Sarawak Tan Sri Stephen Kalong Ningkam pada 1966.

“Disebabkan beliau tidak bersetuju dengan Kuala Lumpur mengenai hal-hal tertentu, maka segala kuasa persekutuan dipergunakan untuk menjatuhkannya termasuk meminda perlembagaan Sarawak dan mengisytiharkan darurat di negeri itu,” katanya.

Katanya, tindakan sama digunakan terhadap bekas ketua menteri Sabah, Tun Mustapha Harun dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

“Persekutuan menjatuhkan Mustapha pada 1976. Kuala Lumpur membentuk satu persepsi bahawa beliau suka berfoya-foya dan membazirkan wang.

“Kisah sebenarnya kerana pendirian Mustapha tidak bersetuju menyerahkan konsesi minyak dan gas Sabah kepada Kuala Lumpur. Kisah sebenar disenyapkan sehingga hari ini.”

Menurutnya, Pairin ditahan atas tuduhan rasuah tetapi mahkamah akhirnya mendapati beliau tidak bersalah.

“Sekarang, sejarah berulang kembali ke atas pemimpin Warisan. Saya berharap semua orang dapat melihat tindakan yang dilakukan Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur tidak berada dalam misi keadilan tetapi dalam usaha untuk menguasai politik Borneo,” kata Bosuin.

Tiada ulasan: