Khamis, 19 Oktober 2017

SPRM panggil Shafie Apdal untuk soal siasat

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Shafie Apdal dipanggil untuk siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana persekutuan yang sepatutnya digunakan bagi tujuan pembangunan infrastruktur di Sabah antara 2009 hingga 2015.
 
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu yang kini berada di Kuala Lumpur dijadual tiba di Kota Kinabalu petang ini sebelum menghadirkan diri ke pejabat SPRM Sabah, lapor portal The Malaysian Insight.
 
Sumber portal itu memberitahu Shafie sudah dipanggil dan akan disambut tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu oleh ahli-ahli Warisan.
 
Dua adik Shafie, Hamid dan Yusof, sebelum ini ditahan reman oleh SPRM berhubung siasatan yang sama. Ketua Pemuda Warisan, Azis Jamman yang bebas daripada tahanan reman minggu lalu, adalah juga anak saudara Shafie. 
 
Shafie sebelum ini menyifatkan siasatan SPRM berhubung isu itu sebagai "pendakwaan terpilih" dan bermotifkan politik.
 
"Saya tahu SPRM dipergunakan sebagai alat oleh kerajaan," katanya. 
 
Shafie turut meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan cara siasatan tu dijalankan yang mana katanya SPRM hanya mendapatkan rakan-rakannya dan saudara maranya dalam siasatan mereka.
 
Bagaimanapun Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata siasatan mereka "di luar politik", dan menyatakan ia hanya mengenai dakwaan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa. 
 
"Lihat siapa yang kami tahan. Kami tidak hanya tahan ahli Warisan, tapi juga ahli Umno. Siasatan kami berdasarkan bukti dan bukan parti politik. Ini di luar politik," katanya. 
 
Siasatan berkenaan melibatkan 350 projek luar bandar membabitkan bekalan air an elektrik, dan juga jalan.
 
Suruhanjaya itu sudah menyoal siasat 45 individu berhubung siasatan mereka. 


Tiada ulasan: