Khamis, 19 Oktober 2017

Semakin Ramai Kassim Ahmad Akan Lahir


Dengan fikiran waras dan emosi yang stabil serta bahagia, penulis sengaja memilih tajuk yang kontroversi kerana penulis mahu membiar seluruh jiwa melayu muslim memberontak lalu marah dan membaca tulisan ini.

Ini adalah kerana bagi penulis, menulis itu tidak enteng tetapi membaca itu tersangatlah mudah untuk dibuat. Tinggal lagi jika digaul dengan emosi tercabar maka ia mungkin mampu menggamit minat yang akan membaca.

Apatah lagi bila mana ada yang menulis perihal sosok bernama Kassim Ahmad. Dilahirkan tanggal 9 September 1933, beliau yang lebih dikenali dengan sapaan Pak Kassim kembali menemui penciptaNya pada Oktober 2017.

Sebelum ini apabila disingkap nama Pak Kassim, pastinya beliau digambarkan dengan bayangan yang cukup hina dalam lingkup massa melayu muslim di Malaysia. Maklumlah, melayu di Malaysia yang ada hari ini tidak mudah menerima kerencaman pandangan serta pertanyaan kritis terhadap "Islam" dan "melayu".

Kejijikan masyarakat terhadap Pak Kassim adalah akibat dari "ideologi" yang dibawa oleh beliau yang mendapat layanan seperti sampah masyarakat dari bani melayu khususnya bukan diatas kefahaman tetapi ikut-ikutan.

Ideologi selalunya lahir akibat konflik dari dua atau lebih kepercayaan. Maka Pak Kassim bukan sahaja dihambur dengan label seorang yang anti-hadis, malah dia turut "disepakati" selaku seorang yang sesat, murtad dan kafir. 

Dalam saat kesibukan warga muslim melayu menyahkan apa yang disebut melalui kalam tuhan tentang keenakan mereka memfatwakan seseorang itu sesat tanpa mereka terlebih dahulu menegakkan hujah melalui ayat dibawah:

“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)” (Surah al-Israk: 15).

Nafsu dan dendam itu terawal dulu mengambil posisi sebelum dilampiaskan pelbagai tuduhan kepada Pak Kassim, dan ia menjadi iktikad kepada masyarakat melayu muslim yang lebih suka menadah dari mencari dan mengkaji.

Cuma dalam kegalakan orang agama yang diangkat dengan pelbagai gelaran "suci" kononya, sikap menyerang Pak Kassim bukan sahaja selepas terputus nyawa dan jasad beliau, malah sehingga dikebumikan mereka ini masih asyik membantai Pak Kassim dan pemikirannya cukuplah menjengkelkan.

Sebenarnya masyarakat hanya mula memberi perhatian kepada pemilik nama Kassim Ahmad ini semula bermula sekitar tahun 1986 dan muncul sekali lagi ketika Pak Kassim ditahan oleh JAWI dan didakwa dimahkamah pada tahun 2015.

Namun pada Ogos 2017 yang lalu beliau telah dibebaskan oleh Mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah. Dan diketika selang 2 waktu ini beliau hanya dikenali dengan pemberat sebagai seorang yang anti-hadis.

Masyarakat lupa yang beliau dilahirkan pada tahun 1933. Bani melayu muslim lupa siapa Kassim Ahmad sebelum tahun 1986 yang menjadi tahun dimana nama beliau dipijak dek kerana naskah Hadis: Satu Penilaian Semula yang telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pak Kassim adalah seorang pemikir, orang politik, sasterawan, pejuang tanah air yang pernah ditahan dibawah undang-undang tahanan tanpa bicara dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) pada tahun 1976 selama lima tahun yang berakhir pada tahun 1981.

Itulah yang berlaku dalam dunia melayu muslim di Malaysia semenjak sekian lama dan ia seumpama sumpah yang ditinggal oleh penjajah yang menduduki negeri-negeri melayu ketika dulu. Melawan atau memohon penilaian semula setiap perkara seharusnya tidak boleh berlaku. 

Feudalisme yang menebal seperti yang penulis pernah karangkan sebelum ini menyebabkan melayu muslim itu selesa dengan status quo peninggalan nenek moyang terdahulu. Bila dipersoal pasti akan ditutup mulut dan disumbat telinga dengan hujah ianya berdosa jika dipersoal.

Kassim Ahmad ketika usia mudanya adalah seorang pemikir yang berani dan dinamik disamping didorong dengan keyakinan atas kajiannya. Kekesalan dan kecewanya kelompok seperti beliau adalah kerana kegagalan autoriti agama negeri atau negara untuk menunjuk jalan keluar sekaligus menjawab persoalan yang diutarakan.

Penulis memuji inisiatif beberapa figur agama seperti Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan Maulana Fakhrurrazi berkaitan Pak Kassim. Ada yang bertemu dan ada yang adil dalam memberi komentar kepada Pak Kassim. Sekalipun mereka menganggap hujah Pak Kassim tidaklah sehebat mana, mereka layak kerana mereka telah berhadapan dengan Pak Kassim.

Ia berbanding dengan pendekatan seseorang yang memonopoli diri beliau selaku kepala kepada ASWAJA, pendekatan beliau berhadapan dengan Pak Kassim tidak langsung membawa metodologi untuk memujuk apabila dia menjatuh hukum bahawasanya Pak Kassim itu seorang yang murtad.

Maka sekali lagi masyarakat mungkin sedikit leka dengan pendekatan gelojoh dan sembrono seperti figur yang penulis maksudkan dalam perenggan sebelumnya yang ditenggelamkan dengan gelaran anti-hadis kepada Kassim Ahmad. 

Akhirnya lahirlah golongan yang bukan saja anti hadis, malah ia memuntahkan lagi mereka-mereka yang boleh dirujuk kelompok yang"merajuk dengan tuhan".

Ini memberi makna bahawa manusia itu perlu diurus dan diberi penerangan sebaiknya. Bukan menjatuhkan hukum seperti mana yang dilalui Kassim Ahmad dipenghujung hidupnya. Apakah kita lupa kepada ayat 15 surah Al-Israk?

Jika masyarakat kita takut untuk berfikir secara kritis dan mempersoal secara kritikal, maka kita pasti akan menyesal dan bermain dengan persepsi diri sendiri yang akhirnya merasakan 1 golongan yang disebut masuk ke dalam syurga kelak adalah dari kelompok "aku".

Ramai yang tertanam dalam lubuk sanubari mereka Pak Kassim itu berada dalam kebanyakan golongan yang bakal menuju ke neraka. Bagi mereka orang tua bertubuh kecil itu sesat kerana membuat tafsiran sendiri terhadap Al Quran.

Namun yang punya kesarjanaan dalam agama ini penulis mempunyai tanggapan mereka ini sedang "koma" kerana mereka juga menafsir tulisan dan metafora Kassim Ahmad itu secara literal tanpa berhadapan dan berhujah dengan beliau.

Kini ianya sudah berlalu. Walau Kassim Ahmad telah menuju jalan pulang. Jasadnya boleh diurus hilang dari lensa mata manusia. Tetapi ideologinya akan terus membiak dan melata. 

Justeru bila mana ada antara kita yang membawa pandangan dan pemikiran yang merenjat massa itu wujud, jangan kita arah mereka diam menggunakan institusi agama. 

Sediakan mereka pentas bicara, bincang selumatnya agar ada satu kesepakatan untuk kita membina masyarakat yang intelektual dan bertamadun serta berani.

Perubahan perlukan keberanian. Moga Pak Kassim tenang dinegeri abadi.
 
 

Tiada ulasan: