Khamis, 19 Oktober 2017

Rafizi desak Najib, Shahrir jelaskan status pelaburan FIC di London

 
Naib presiden PKR itu berharap kenyataannya hari ini akan mendapat perhatian pengurusan tertinggi Felda yang mendiamkan diri selama ini.


rafizi-najib-shahrir


PETALING JAYA: Rafizi Ramli hari ini meminta perdana menteri dan Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad menjelaskan status pelaburan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) ke atas Hotel Grand Plaza Kensington di London.

Naib presiden PKR itu mendakwa pemilik hotel itu, FIC London Hotel Pte Limited yang merupakan sebuah syarikat didaftarkan di British Virgin Island (BVI) sudah ditutup.

“Saya boleh mengesahkan syarikat BVI yang memiliki Grand Plaza Kensington Hotel (seperti yang terkandung di dalam geran hak milik) telahpun ditutup.

“Syarikat tersebut telah dibubarkan daripada senarai syarikat yang didaftarkan di BVI pada 3 Mei 2016 kerana tidak membayar yuran tahunan.

“Warta rasmi kerajaan BVI bertarikh 19 Mei 2016 secara rasmi menyenaraikan FIC London Hotel Pte Limited sebagai salah satu syarikat yang dibubarkan dan dibatalkan pendaftarannya selaras undang-undang BVI,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Rafizi mendakwa hasil pencarian di pejabat pendaftar tanah di United Kingdom mendapati hak milik 2 hartanah yang dibeli Felda, didaftarkan atas nama syarikat yang berdaftar BVI yang tiada kena-mengena dengan Felda dan pemilik syarikat itu masih tidak diketahui sehingga kini.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa Hotel Grand Plaza Kensington dibeli pada harga £60 juta (anggaran RM330 juta) pada 2014 yang secara rasmi dimiliki FIC London Hotel Pte Limited yang ditubuhkan di BVI.

Tambahan, Felda House yang dibina dengan anggaran RM380 juta pada 2015 juga secara rasmi dimiliki FIC Global Limited yang juga ditubuhkan di BVI.

Rafizi turut mendakwa FIC London Hotel Pte Limited yang dinyatakan dalam penyata kewangan Felda, selain memegang aset hotel berharga RM330 juta di kawasan elit London itu, tidak wujud.

Shahrir dalam maklum balasnya berkata, pembelian hartanah Kensington sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Rafizi berharap kenyataannya hari ini boleh mendapat perhatian pengurusan tertinggi Felda yang mendiamkan diri selama ini.

“Mereka berdepan risiko hotel yang dibeli pada harga mahal dengan wang Felda itu bukan sahaja didaftarkan atas nama syarikat lain, kini Felda akan kehilangan hotel dan wang pelaburan untuk selama-lamanya (jika ini tidak diselesaikan segera),” katanya.

Rafizi turut mempersoalkan tindakan Felda membeli hotel itu dan siapa di sebalik penubuhan FIC London Hotel Pte Limited.

“Jika Felda ingin mendapatkan kembali hak milik hotel itu, Felda tidak mempunyai pilihan selain mengesan dan mendedahkan pemilik sebenar FIC London Hotel Pte (Limited).

“Adakah Felda akan membuat kenyataan umum menjawab pelbagai persoalan yang saya timbulkan dalam siri pendedahan Felda yang saya buat sejak minggu lepas?” soalnya.

Julai lalu, SPRM mengumumkan siasatan dimulakan ke atas pembelian hotel di London itu dan sebuah hotel 4 bintang di Kuching.

Siasatan SPRM mendedahkan FIC didakwa membeli Hotel Grand Plaza Kensington di London pada harga lebih tinggi daripada pasaran menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjuta ringgit.

Hotel itu dilengkapi 62 bilik dan terletak di Lexham Gardens di kawasan eksklusif Kensington dan Chelsea.

Hotel & Suites Merdeka Palace di Kuching yang bertaraf 4 bintang juga dipercayai dibeli pada harga lebih tinggi.

Tiada ulasan: