Khamis, 19 Oktober 2017

Pimpinan PH Bimbang Kehadiran Rendah Kaum Cina Dalam Himpunan Terakhir Bayangan PRU 14






Pimpinan Pakatan Harapan (PH) bimbang kehadiran rendah kaum Cina bandar di kubu kuat pembangkang di Petaling Jaya semasa himpunan pada Sabtu mungkin akan menjadi cerminan kepada undi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Seorang pemimpin PH memberitahu The Malaysian Insight berkata, andaian undi kaum Cina akan terus bersama pembangkang seperti pada pilihan raya 2008 dan 2013 adalah tidak benar kerana ia gagal diterjemahkan dengan kehadiran mereka pada perhimpunan terakhir sebelum PRU yang diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.

“Selepas himpunan kami berbincang tentang mengapa pengundi kelas pertengahan bandar terutamanya kaum Cina tidak hadir walaupun himpunan diadakan di Petaling Jaya, tempat tinggal mereka dan merupakan kubu kuat pembangkang sejak 2008,” kata seorang pemimpin kanan PH yang tidak mahu dinamakan.

“Ini mungkin disebabkan pengundi kelas pertengahan Cina sudah bosan dengan keadaan politik di Malaysia, sudah keletihan dan ‘give up’ apabila melihat pergaduhan dalaman antara pembangkang.

“Mereka mungkin tidak akan mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU14 tetapi kemungkinan besar mereka tidak akan keluar mengundi pada PRU14,”katanya.

Tapak perhimpunan, Padang Timur berhadapan dengan pusat membeli-belah Amcorp Mall merupakan kawasan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan dari PKR Hee Loy Sian yang disandang sejak 2008.

Sumber PH itu berkata, ada juga pemimpin yang berpendapat pengundi Cina sudah memahami isu “kleptokrasi” dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ini menyebabkan mereka tidak menyertai perhimpunan itu.

“Akan tetapi saya tidak terima hujah ini. Saya merasakan PH perlu kaji dengan serius mengapa pengundi kelas pertengahan Cina tidak hadir pada perhimpunan itu.

“Jangan sampai kita hilang sokongan mereka pada PRU14,” katanya.

Pegarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata menurut kajian yang dilakukannya, sentimen pengundi Cina pada ketika ini ialah “tunggu dan lihat”.

“Ini kerana pada PRU13, lebih 85% pengundi Cina sudah memberikan undi kepada pembangkang akan tetapi masih belum berlaku perubahan kerajaan sehingga digelar ‘tsunami Cina’.

“Semasa perhimpunan Bersih 4, begitu ramai kaum Cina turun sehingga Umno mengatakan himpunan itu hanya dihadiri kaum Cina. Sebab itu mereka sekarang ini tunggu dan lihat bagaimana reaksi orang Melayu,” katanya.

Hisommudin berkata, sekiranya PH gagal menarik sokongan Melayu kemungkinan besar, mereka tidak akan mendapat sokongan pengundi Cina seperti PRU13.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata, masyarakat Cina sangat praktikal dan parti pembangkang seharusnya fokus kepada menyediakan alternatif yang jelas.

“Bukan hanya menyerang kerajaan. Saya fikir apa yang rakyat mahu dengar ialah apakah pembangkang mampu mentadbir dengan lebih baik?

“Apa rancangan mereka? Apa agenda dan apakah cadangan pembangkang?” soalnya.

Tiada ulasan: