Rabu, 18 Oktober 2017

Pembangkang degil, ingkar nasihat polis – Noah Omar

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA SELANGOR: Kedegilan Pakatan Harapan yang tidak mahu menukar lokasi ‘Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ walaupun setelah dinasihati polis menunjukkan sikap mereka yang tidak menghormati undang-undang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata tindakan pembangkang untuk mengingkari arahan polis adalah taktik yang digunakan oleh mereka bagi mencetuskan kekecohan bagi dan menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Budaya melawan undang-undang ini adalah budaya pembangkang. Pembangkang tetap mahu mengadakan himpunan di Padang Timur, Dataran Petaling Jaya, dengan harapan polis akan mengambil tindakan.

“Selepas itu mereka akan menguar-uarkan di peringkat antarabangsa kononnya Malaysia dan kerajaan tidak demokratik,” katanya kepada pemberita sebelum melakukan tinjauan mesra di Kampung Bukit Belimbing di sini.

Noh berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa Pakatan Harapan mahu meneruskan ‘Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ di Padang Timur, Dataran Petaling Jaya .

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini menyarankan penganjur acara itu supaya mengubah lokasi perhimpunan berkenaan ke Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya, bagi memudahkan polis melakukan kawalan.–Bernama

Tiada ulasan: