Rabu, 11 Oktober 2017

PAS nafi dakwaan Nasharudin Mat Isa

SALMAH MAT HUSAIN FOTO RIZAL TAHIR

 
 
PAS berharap pihak tertentu tidak lagi mengeluarkan kenyataan mengaitkan hubungan antara PAS dan Umno kononnya  dilihat semakin cerah.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, jika ia diulang akan menimbulkan kekeliruan pada masyarakat di bawah.
 
“Kita bimbang rakyat tidak faham dan mereka keliru dengan kenyataan-kenyataan sedemikian.
 
“Sedangkan pimpinan kita sebelum ini berulangkali telah menafikan hubungan kerjasama politik, kecuali membabitkan masyarakat dan kepentingan umat Islam sahaja,” ujarnya.
 
Menurutnya, PAS tetap berpendirian tidak akan mengadakan kerjasama politik dengan Umno apa lagi untuk berhadapan PRU 14.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa dua hari lalu.
 
Menurut Nasharudin, kerjasama antara PAS dan Umno dilihat semakin cerah dan akan memberi manfaat kepada Malaysia sejajar dengan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan.
 
Katanya lagi, PAS dan Umno tidak perlu bergabung tetapi mengadakan kerjasama demi kestabilan politik dengan mengetepikan perbezaan masing-masing.
 
Fadzli yang juga anggota exco kerajaan negeri ditemui selepas majlis Anugerah Cakno Rakyat 2017, di sini hari ini.
 
“Kita tak nafi bentuk kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan demi untuk kepentingan rakyat dan umat Islam.
 
“Ia telah wujud sejak zaman Almarhum Datuk Fadhil Mohd Noor dan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 
 
 

Tiada ulasan: