SHAH ALAM: PAS mahu perbahasan mengenai rang undang-undang persendirian
(RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965
diteruskan perbahasannya dalam sesi Parlimen akan datang.
Setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata adalah tidak adil
buat PAS sekiranya perbahasan itu dihentikan atas apa jua alasan.
Sesi parlimen akan datang akan dimulakan pada 23 Oktober ini dan berakhir 30 November depan.
"PAS berpandangan adalah tidak wajar perbahasan yang telah bermula
dengan pembentangannya oleh Ahli Parlimen Marang dan disokong oleh Ahli
Parlimen Kota Bharu pada 6 April 2017 dihentikan walau atas apa alasan
sekalipun.
"Perbahasan harus diteruskan sehingga akhir mengikut prosedurnya
walaupun tidak boleh disempurnakan pada sesi Parlimen kali ini.
"Umpama kes mahkamah yang telah bermula perbicaraan tidak akan
dihentikan sehinggalah ia berakhir dengan keputusan oleh hakim, bezanya
Parlimen akan ditentukan melalui pengundian Ahli Parlimen.
"Langkah segera meminda Akta 355 amat penting kerana ianya berkaitan
dengan menaikkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terpakai hanya
kepada orang Islam sahaja yang kini memiliki bidang kuasa yang amat
rendah sekali,' ujarnya menerusi kenyataan media hari ini.
RUU355 yang dibentang oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
pada 6 April lalu bertujuan untuk memperkasakan kuasa mahkamah syariah.
Bagaimanpun, RUU itu tidak didebat selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menundakan persidangan Dewan Rakyat.
RUU itu juga gagal dibahaskan pada persidangan Julai lalu.
Untuk rekod, ini adalah kali ketiga Hadi membentangkan rang
undang-undang berkenaan. Kali pertama adalah pada 26 Mei tahun lalu.
Pada November tahun lalu, beliau sekali lagi membentang usul itu untuk bacaan kali pertama.
Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan termasuk penambahan
tempoh penjara lebih tiga tahun atau denda lebih RM5,000 atau lebih enam
sebatan kepada hukuman penjara lebih 30 tahun atau denda lebih
RM100,000 atau 100 sebatan dilaksana mengikut jenayah syariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan