Isnin, 16 Oktober 2017

Ketiadaan PAS dalam PH penyebab himpunan anti-kleptokrasi gagal

Oleh Afiqah Mat Rozi
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam menarik peserta ke himpunan anjuran mereka di Padang Timur, Sabtu lalu, adalah kerana PAS tidak lagi menjadi sebahagian daripada gagasan pembangkang itu.
 
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Riduan Mohamad Nor berkata sebelum terbarainya Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotai PAS bersama DAP dan PKR, himpunan mega sentiasa berjaya dan menarik minat masyarakat awam untuk menyertainya. 
 
"PAS yang menjadi rakan komponen PR telah berjaya memobilisasi ahli-ahlinya turun berhimpun. 80 peratus peserta himpunan adalah ahli PAS, manakala yang lain termasuk daripada gerakan swadaya dan masyarakat sivil yang lain. 
 
"PAS mempunyai modus operandi yang tersusun dalam mengerah ahlinya, daripada peringkat cawangan, MTD, kawasan, negeri dan Wilayah Persekutuan seterusnya di peringkat Pusat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Menurut Riduan, tempoh kempen dan mobilisasi untuk menggerak seluruh penyokong PH untuk berhimpun selama lebih tiga bulan adalah tempoh yang memadai. 
 
"Jika tempoh yang sama digerakkan oleh pasukan mobilisasi PAS, sebagaimana terbukti sebelum ini maka 270,000 hingga 300,000 ahli akan berhimpun seperti himpunan H355 dan FASTAQIM 2.0," ujarnya merujuk kepada himpunan gergasi PAS yang berlangsung di Pantai Tok Jembal, dua minggu lalu.
 
Riduan turut mendakwa kegagalan himpunan itu juga satu cerminan bahawa PH dilihat tidak mempunyai pimpinan yang berintegriti untuk menjulang tema 'Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' yang dipilih mereka. 
 
"(Tun Dr) Mahathir dan alumni Umnonya mempunyai bagasi sejarah silam yang tak mampu dipadamkan dengan apa jua serbuk penyental. 
 
"Mereka daripada pasukan perampok negara dengan pelbagai skandal kewangan semasa di koridor kuasa. Mereka 'acah-acah suci' untuk menolak kebobrokan pemerintahan (Datuk Seri) Najib dan rakyat yang pernah menderita di zaman demokrasi terpimpin Dr Mahathir tak mudah melupakan senarai panjang kezaliman dan salah guna kuasa," katanya.
 
Ujarnya juga, kurangnya anak muda dalam himpunan anti-kleptokrasi tersebut kerana kegagalan sayap pemuda PH sendiri dalam menarik golongan di bawah usia 40 tahun itu.
 
"Sangat kontradik dengan himpunan FASTAQIM 2.0 dua minggu yang lepas di Tok Jembal, lebih 70 peratus adalah anak-anak muda pelbagai latar belakang. 
 
"Bukan sahaja anak-anak muda aliran tarbawi dan tajnid tetapi anak-anak muda ranggi yang meminati genre muzik keras turut memeriahkan himpunan,"kata beliau.
 
Tambahnya juga, kehambaran himpunan itu turut disebabkan kelemahan dalam menyusun serta menggembleng sokongan NGO dan ketiadaan jentera akar umbi gabungan itu sendiri.
 
"Selama ini jentera pilihan raya PR disandarkan pada PAS, petugas PAS diatas nama arahan jamaah dan sikap setiakawan telah membantu rakan komponen PR.
 
"Kali ini jentera PAS tidak perlu memikul biawak hidup lagi, mereka boleh menghela nafas lega sambil berzikir mengingati Allah," katanya lagi.
 
Himpunan 'Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi' anjuran PH bertempat di padang Timur pada Sabtu lalu, hanya mencatatkan kehadiran tidak kurang 10,000 peserta, kira-kira 10 peratus daripada angka sasaran yang diumumkan sebelum ini.
 
Bagaimana Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan jumlah kehadiran peserta perhimpunan sekitar 4,000 orang.
 
Himpunan itu membariskan beberapa tokoh terkenal pembangkang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang dan lain-lain. 
 
Ia adalah himpunan kemuncak selepas gabungan itu mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 
 
Ucapan pemimpin-pemimpin pembangkang pada malam tadi juga banyak mengitar semula tuduhan-tuduhannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
 
Najib sebelum ini menegaskan di pihaknya tidak ada salah laku yang berlaku dan beliau sendiri mengarahkan Parlimen dan pihak yang berkenaan menyiasat kemelut kewangan 1MDB. 
 
Siasatan dilakukan tanpa campur tangan dan tindakan-tindakan tertentu sudah pun di ambil manakala 1MDB sendiri melalui proses rasionalisasi.

Tiada ulasan: