Ahad, 15 Oktober 2017

Kehadiran Tun M gagal tarik hadirin ke himpunan anti-Najib

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar, Athirah Hanapiah dan Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Himpunan anti-Najib anjuran Pakatan Harapan (PH) berakhir sebentar tadi dengan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad mengitar semula tuduhan-tuduhannya terhadap Perdana Menteri. 
 
Perhimpunan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur itu dihadiri oleh kira-kira 10,000 pada kemuncak program sehari itu, jauh lebih rendah daripada sasaran 100,000 yang diharapkan oleh penganjur. 
 
Kehadiran Dr Mahathir pada petang dan kemudiannya sebelah malam gagal menarik jumlah sokongan yang diharapkan. 
 
Paling ketara ialah bilangan rendah belia yang hadir sedangkan Pakatan Harapan meletakkan harapan utama kepada golongan itu untuk meraih undi pada pilihan raya umum akan datang. 
 
Tema “Kleptokrasi” dipilih PH untuk melontar pelbagai tuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan bersabit isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). 
 
Dalam ucapannya Dr Mahathir sekali lagi mengungkit soal amanah dan kebertanggungjawaban untuk menyerang Perdana Menteri. 
 
“Kita kena nyatakan tentangan kita terhadap pemimpin kerajaan seperti ini.
 
"Jadi sekarang nasib Najib di tangan kita. Kita boleh kalahkan Najib dengan pangkah PH,” kata Dr Mahathir. 
 
Najib sebelum ini menegaskan di pihaknya tidak ada salah laku berlaku dan beliau sendiri mengarahkan Parlimen dan pihak yang berkenaan menyiasat kemelut kewangan 1MDB. 
 
Siasatan dilakukan tanpa campur tangan dan tindakan-tindakan tertentu sudah pun di ambil manakala 1MDB sendiri melalui proses rasionalisasi. 
 
Selain Dr Mahathir, turut berucap adalah Presiden PH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.  
 
Video yang memuatkan ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut ditayangkan. 
 
PH yang merangkumi DAP, PKR, PPBM dan Amanah, berharap untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang harus diadakan sebelum Ogos tahun depan. 
 
Bagaimanapun pakatan itu dibelenggui oleh perbalahan dalaman dan ketiadaan penyelarasan untuk bergerak secara bersepadu. 
 
PH juga dilihat tidak menawarkan penyelesaian mapan atas isu-isu yang dibangkitkannya seperti GST dan kos sara hidup. 
 
Para penganalisis politik meletakkan perhimpunan anjuran PH hari ini sebagai penanda aras terhadap sambutan rakyat untuk gabungan itu pada pilihan raya kelak.
 
Kehadiran penyokong di bawah paras sasaran penganjur tentunya membawa mesej yang berkemungkinan menggoyah keyakinan PH dalam hasratnya menawan Putrajaya. 
  

Tiada ulasan: