Jumaat, 13 Oktober 2017

Difitnah terima RM7 juta, Anina saman enam pemimpin, ahli PPBM

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
BANGI: Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saaduddin hari ini mengemukakan saman fitnah terhadap enam ahli parti berkenaan berikutan dakwaan dirinya menerima RM7 juta daripada Umno.
 
Tindakan itu diambil selepas kenam-enam mereka gagal mengemukakan sebarang permohonan maaf atau menarik semula kenyataan yang dimuatnaik di laman sosial Facebook pada Ramadan lalu.
 
Anina bagaimanapun enggan menamakan individu yang terlibat itu sehingga notis saman itu diserahkan kepada mereka.
 
"Saya ingin memaklumkan bahawa saya melalui peguam telah memfailkan suatu tindakan fitnah terhadap enam individu ahli PPBM di mana empat daripadanya merupakan barisan kepimpinan PPBM Langkawi.
 
"Saya memfailkan tuntutan fitnah ini di mahkamah selepas berpuas hati bahawa semua proses dalaman parti telah dilakukan oleh pihak saya.
 
"Saya telah menghantar aduan ke Jawatankuasa Disiplin PPBM pada 2 Ogos 2017 tetapi tiada sebarang siasatan dan tindakan diambil," katanya di sidang media, petang tadi.
 
Saman fitnah itu difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada semalam.
 
Anina mendakwa kenyataan di media sosial itu dimulakan pada hari ketiga Ramadan, dengan menggunakan kata-kata kasar yang mengaitkan dirinya menerima dedak berjumlah RM7 juta daripada Umno.
 
"Lebih malang fitnah itu dimulakan dan diteruskan oleh barisan kepimpinan PPBM Langkawi yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad. 
 
"Saya kesal kerana sikap buruk, tidak cerdik dan jahat individu-individu ini bukan sahaja menjejaskan nama baik dan kredibiliti saya sebagai ahli politik muda, lebih dahsyat ianya turut menjejaskan nama baik dan kewibawaan pemimpin besar iaitu Dr Mahathir selaku pengerusi parti," tegasnya.
 
Lebih menghairankan, ujar Anina fitnah sedemikian dibiarkan begitu sahaja oleh pimpinan PPBM seolah-olah merestui tindakan tersebut.
 
Ketua Armada PPBM Syed Saddiq Syed Abdul dalam sidang media pada awal bulan ini mendakwa bahawa wujudnya rangkaian dedak yang sistematik sedang digunakan untuk mempengaruhi pemimpin kanan keluar meninggalkan parti.  
 
Syed Saddiq juga mendedahkan bahawa tiga pengasas PPBM yang telah keluar parti sebelum ini iaitu Kamarulazman Habibur Rahman, Anina Saaduddin dan Datuk Hamidah Osman adalah individu yang didakwa turut menerima habuan berkenaan.      
 
Bagaimanapun Anina pada minggu lalu membuat penafian terhadap dakwaan yang mengaitkannya menerima habuan untuk meninggalkan parti, dengan mencabar pemimpin muda itu tampil menunjukkan bukti.
 
Bekas Ketua Srikandi PPBM itu malah menyifatkan Syed Saddiq agak lambat dalam menyuarakan isu habuan itu, memandangkan dirinya pernah melaporkan hal itu pada Julai lalu kepada pihak berkuasa selepas didakwa menerima RM7 juta untuk meninggalkan PPBM.
 
Selain Anina, turut sama menafikan dakwaan menerima habuan untuk meninggalkan parti adalah bekas pengasas PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman dan Naib Presiden PPBM, Datuk Hamidah Osman.
 
Susulan itu Hamidah membuat laporan kepada SPRM manakala Kamarulazman pula tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi berhubung dakwaan yang mengatakan bekas pemimpin yang meninggalkan parti itu ada ditawarkan wang. 


Tiada ulasan: