Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini
mendedahkan menerima ancaman daripada kumpulan sindiket perjudian
terbesar di negara ini yang bertujuan ‘mengajar’ NGO berkenaan.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ancaman yang diterima
PPIM itu adalah susulan pendedahan mereka sebagaimana yang dilapor
akhbar Utusan Malaysia sebelum ini, mengenai sistem ‘sembilan dragon’.
“Amaran ini dibuat kepada PPIM. Kita tidak takut dan tidak ada benda
yang perlu ditakuti. Paling tidak pun mati. Tiada masalah kepada kita.
“Sejak dahulu lagi kita dapat ancaman, nak hantar pelurulah... PPIM nak
wujud 20 tahun, kita tak akan lari, apa yang kita buat ini demi
pengguna,” kata Nadzim dalam sidang medianya sebentar tadi.
Nadzim juga menyatakan kesediaannya mempertaruhkan nyawa sekiranya sindiket tersebut berterusan mengganggu kerja NGO tersebut.
Nadzim mendakwa ancaman terbaru yang diterima PPIM adalah minggu lalu
selepas sindiket perjudian itu mengadakan perjumpaan di beberapa buah
negeri, termasuk di Perak dan Selangor.
Bagaimanapun Nadzim tidak bertindak melaporkan ancaman itu kepada pihak
polis kerana dakwanya, dia akan ditangkap jika berbuat demikian.
Dalam laporan Utusan Malaysia beberapa hari lalu, PPIM mendakwa sistem
‘sembilan dragon’ itu telah lama diamalkan oleh kumpulan sindiket
jenayah terbabit, malah mereka juga mempunyai kuasa di dalam agensi
penguatkuasa di negara ini.
Nadzim berkata sindiket itu mempunyai ‘kuasa’ menukarkan ahli
penguatkuasa yang dirasakan menjejaskan kerja-kerja jenayah mereka.
Lebih menyukarkan keadaan apabila pimpinan ‘sembilan dragon’ ini
menjalin hubungan rapat dan saling bekerjasama dalam beberapa urusan
selain turut menerima wang perlindungan.
Ujarnya, sistem dragon itu juga mempunyai hubungan dengan kumpulan lain
di luar negara termasuk Hong Kong, China dan beberapa negara lain bagi
menjalankan aktiviti mereka.
Nadzim dalam pada itu mendakwa sindiket perjudian sebegini saling berkaitan dengan ah long, maksiat, dadah dan lain-lain.
“Mereka kata nak ajar kita sebab dah tiba masa. Contohnya dalam isu ah
long. Kita (PPIM) campur tangan dan mereka rasa tak senang. Apatah lagi
sekarang pun pihak berkuasa bersungguh-sungguh (buat kerja) dan media
pun buat laporan yang baik, maka kerja-kerja (pembanterasan) berlaku
dengan baik.
“Tempat judi semakin bertambah. Dari 600 kepada lebih 3,000 di Lembah Klang.
“Yang kita harapkan adalah sokongan dari semua pihak untuk menutup premis sebegini,” ujarnya.
Nadzim sebelum ini juga mendakwa peraturan dalam organisasi ‘sembilan
dragon’ itu juga membolehkan hukuman tembak sampai mati terhadap
pengkhianat kumpulan itu dan menyebabkan pihak berkuasa tidak berani
melawan mereka.
Memetik pendedahannya di surat khabar itu juga beliau mendakwa terdapat
beberapa individu ternama di negara ini yang berjaya menduduki tahap
tertinggi dalam sistem rangkaian antarabangsa itu.
Susulan pendedahan tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur
Jazlan Mohamed meminta NGO itu menampilkan bukti dakwaan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan