Khamis, 19 Oktober 2017

. DAP Terasa Ketiadaan PAS?

Khairul Amir

PAS


BENARKAH DAP kini dikatakan mula terasa dengan ketiadaan PAS dalam gabungan Pakatan Harapan (PH)?

Ini ekoran kegagalan mereka untuk menarik sokongan rakyat terutama orang Melayu hadir ke perhimpunan anjuran Pakatan Harapan di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Jika sebelum ini, himpunan yang dianjurkan pembangkang di bawah Pakatan Rakyat dihadiri ramai penyokong PAS sekali gus memperlihatkan himpunan diadakan mendapat sokongan rakyat.

Adakah PAN, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) gagal mendapatkan sokongan orang Melayu seperti dilakukan PAS?

Jika benar, sudah tentu DAP merasakan PAN, PKR dan PPBM kurang memberikan impak dalam menarik sokongan orang Melayu.

Adakah itu faktor yang menyebabkan DAP kini buntu mencari pengganti PAS dalam Pakatan Harapan?

Parti Melayu mana lagi yang boleh diharapkan DAP untuk mendapatkan sokongan orang Melayu?

Masa kian suntuk menje­lang beberapa bulan lagi sebelum diadakan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Namun DAP terus termanggu-manggu untuk me­ngenal pasti rakan strategik daripada parti Melayu mana yang berwibawa untuk menarik sokongan pengundi Melayu.

Selepas himpunan Sabtu lalu gagal dengan hanya menca­tat kehadiran kira-kira 4,000 orang berbanding 100,000 yang diuar-uarkan Presiden PAN, Moha­mad Sabu sebelum ini, ia dikatakan membuatkan DAP semakin resah dengan situasi itu.

Jadi, DAP kini pastinya sudah mencongak peluang tipis pakatan itu untuk menerobos kawasan-kawasan majoriti Me­layu.

Kalau kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di kawasan Felda yang dikatakan mahu diagihkan kepada PPBM, ada jaminankah parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan ‘bungkus awal’ sebelum masuk gelanggang?

DAP usahlah pula membandingkan himpunan Fastaqim anjuran PAS di Kuala Terengganu dua ming­gu lalu yang mencatat 250,000 hadirin.

Jika hendak dibandingkan, memang ibarat langit dan bumi dengan himpunan haram di Padang Timur itu.

Sepatutnya DAP lebih realistik. Semasa Mahathir membacakan ‘ikrar’ pakatan itu untuk menghapuskan rasuah menje­lang 2030 serta menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas yang me­laporkan terus kepada Parlimen, siapa yang berada di sebelah pengerusi pakatan itu?

Bukankah Kit Siang yang anak­nya, Lim Guan Eng sedang menunggu pendakwaan ra­suah di mahkamah.

Walaupun didesak berulang kali supaya Guan Eng bercuti sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sementara kes pengurusan rasuahnya disebut di Mahkamah Tinggi di Georgetown pada 14 November depan, DAP dan Kit Siang buat tuli dan tidak tahu sahaja.

Guan Eng, 57 tahun, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah serta sebuah banglo di Jalan Pinhorn di Georgetown di bawah nilai pasaran.

Dia didakwa mengikut Sek­syen 23, Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165, Kanun Keseksaan.

Sementara ahli perniagaan Phang Li Koon pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Ke­seksaan, yang dibacakan bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat de­ngan Guan Eng berhubung pembelian banglo itu.

Adakah rakyat tidak nampak dengan permainan Kit Siang dan DAP ini?

Isu perjuangan rasuah yang ditonjolkan oleh Mahathir pun seolah-olah meludah ke langit, akhirnya terkena batang hidung sendiri.

Bukankah ada dalam satu rakaman berdurasi selama 1 minit 15 saat, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam satu ceramah pernah menceritakan mengenai kekayaan anak-anak Mahathir iaitu Mirzan dan Tan Sri Mokhzani yang turut tersenarai antara orang terkaya di Malaysia.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut mendakwa, anak-anak bekas Perdana Menteri itu merupakan tauke arak apabila kekayaan dikaut selama ini membolehkan mereka membeli kilang arak di Filipina.

Bagaimana pula dengan hasil prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung nilai sebenar kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) akibat dagangan forex era 1990-an semasa pentadbiran Mahathir?

Himpunan haram di Padang Timur menyerlahkan betapa DAP tidak boleh lagi mengharapkan PAN dan PPBM sebagai galang ganti PAS untuk menarik soko­ngan pengundi Melayu.

Padahal DAP kononnya sudah cukup gah dengan sokongan penyokong Cina tegar mereka.

Kalau diteliti secara serius, macam manalah orang Melayu hendak bersandar kepada parti Melayu dalam Pakatan Harapan kalau usaha untuk mene­gakkan syiar Islam pun dibantah oleh ketua-ketua mereka.

Contoh paling dekat de­ngan orang Melayu ialah apabila PAN dan PPBM selain PKR cuba menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Undang (RUU 355) sebelum ini.

Ini disifatkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.

Jadi, apa sebenarnya peranan utama PAN, PKR dan PPBM dalam Pakatan Harapan?

Tentu DAP kini berada dalam dilema bagi mendapatkan sokongan Melayu menjelang PRU-14 akan datang.

PAS telah pun memutuskan hubungan parti itu dengan DAP dan semua parti gabungan dalam Pakatan Harapan.

Adakah DAP akan memujuk kembali memujuk PAS bukan untuk menyertai Pakatan Harapan tetapi bersama Pakatan itu pada PRU-14?

Ini tidak mustahil berlaku, kerana DAP kini sedang berusaha bagi memastikan orang Melayu menyokong Pakatan Harapan.

DAP pastinya tidak akan berputus asa.


Tiada ulasan: