Khamis, 19 Oktober 2017

‘Dah cakap tapi Khazanah tidak mahu dengar’ – Abdul Aziz

Ainul Asniera Ahsan
Abdul Aziz Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – “Bukan salah Peter Bellew tetapi silap Khazanah Nasional yang tidak mahu dengar pandangan orang,” demikian kata Tan Sri Abdul Aziz, bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines System Berhad.

Menurut Abdul Aziz, beliau sudah banyak kali menyuarakan pandangannya kepada Khazanah ketika firma itu mahu mengambil ‘orang luar’ untuk menerajui MAS yang dijenamakan semula kepada Malaysia Airlines Berhad.

“Dah kata, dah beritahu tetapi Khazanah tidak mahu dengar. Khazanah kata MAS tidak ada calon sesuai kononnya yang ada tidak boleh terajui Malaysia Airlines,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditanya mengenai peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew.

Peneraju pertama MAS itu berkata, sebagai orang lama, beliau sukar mempercayai pandangan Khazanah yang mendakwa tidak ada individu tempatan yang layak.

“Takkanlah tidak ada, mustahil,” katanya yang tetap berpandangan bahawa ‘orang luar’ tidak mampu membawa syarikat penerbangan negara terbang tinggi.

Jelasnya, ada tiga sebab beliau berpendirian begitu kerana dasar atau polisi syarikat penerbangan luar tidak sama dengan Malaysia.

Selain itu, budaya kerja orang asing berbeza sungguh dengan tempatan, lantaran itu bukan mudah untuk mereka kekal di sini.

Faktor lain ialah kesetiaan kepada syarikat penerbangan kebangsaan itu sendiri.

Abdul Aziz berkata, Malaysia sudah merdeka selama 60 tahun, oleh itu Khazanah tidak perlu memandang tinggi ‘orang luar’ sebaliknya menggunakan bakat-bakat tempatan yang ada.

Tegasnya, mustahil sejak penubuhan MAS hingga sekarang, syarikat itu tidak mempunyai pelapis atau kakitangan yang berwibawa untuk mengurus dan memimpin syarikat penerbangan tersebut.

“Dalam mana-mana organisasi mesti ada dalam kalangan kakitangan yang bijak dan boleh memimpin, kena carilah betul-betul.

“Mungkin awal-awal sukar sebab tidak biasa tetapi lama-kelamaan boleh. Lagipun, Khazanah dan Malaysia Airlines mempunyai pelbagai peringkat pengurusan, bantulah bersama-sama.

“Memimpin syarikat bukan kita seorang sahaja, kita ada kakitangan dan lembaga pengarah untuk buat kerja.

“Yang penting individu yang dipilih itu mesti ada sikap kebersamaan dan semangat patriotik yang tinggi dan keiklasan untuk menerajui syarikat negara,” katanya.

Semalam, Bursa Saham London mengumumkan Bellew akan menyertai Ryanair.

MAB pula dalam kenyataannya berkata, ahli-ahli lembaga pengarah syarikat akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi dan akan membuat pengumuman rasmi selepas itu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: