BERTAPAK
dan merebaknya Common Law dan Equity Inggeris di Tanah Melayu mulai
1786 adalah disebabkan oleh penjajahan. Pendapat ini didukung
kesarjanaan ramai pihak termasuk mendiang Prof. G.W. Bartholomew, pakar
undang-undang Common Law Inggeris di Universiti Singapura pada tahun
1967.
Pendapat
ini memang diterima secara am tetapi selepas kemerdekaan belum ada usaha
tempatan untuk memperkenalkan nilai-nilai tempatan di dalam nas,
falsafah dan penghakiman tempatan. Ruang dan peruntukan membenarkan
syarat-syarat tempatan ada disebutkan di dalam Piagam-piagam keadilan
atau Charter of Justice yang dikuatkuasakan Inggeris semenjak 1807
hingga 1956.
Setakat
ini hanya perjuangan syariah atau perundangan Islam yang bangkit untuk
sama setara mentadbir serta melaksanan kehakiman Islam. Itupun hanya
dari sudut undang-undang keluarga.
Pandangan
Bartholomew itu diasaskan pada bukti-bukti perancangan Inggeris di
India, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Piagam Undang-undang Sivil
1807, 1826 dan 1873 cukup nyata mencerminkan pendapat ini. Akhirnya,
setahun sebelum merdeka, Akta Undang-undang Sivil 1956 diperbuat dan
dikuatkuasakan.
Di dalam
instrumen piagam-piagam perundangan ini didapati peruntukan “mahkamah
hendaklah pada menjalankan pentadbiran dan menegakkan keadilan mengguna
dan memakai common law seperti di England pada 7 April 1956…”
Di bawah
seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 memang ada klausa yang
menyebut tentang “penyesuaian dengan keadaan tempatan dari semasa ke
semasa”.
Soalnya,
apakah butiran ubah suai yang telah diperbuat supaya undang-undang sivil
kita tidak rata-rata dicorak dan ditentukan oleh common law Inggeris
dan persekitarannya. Soalan inilah yang kini perlu dijawab dan diberi
perhatian serius kerana undang-undang negara amat berpengaruh dan
berkuasa mewujudkan sistem dan budaya yang tersendiri.
Sebahagian
Ordinan Undang-undang Sivil 1956 bagi Semenanjung Tanah Melayu berasal
daripada peruntukan Piagam Keadilan 1807 (Charter of Justice 1807).
Undang-undang ini yang dijadikan oleh Kapten Francis Light, penguasa
Syarikat India Timur (East India Company – EIC) sebagai undang-undang
utama di Pulau Pinang mengawal perdagangan, ketenteraman awam, jenayah,
kontrak dan hal ehwal sivil yang lain.
Sultan
Abdullah Makaram Kedah diriwayatkan begitu intim dengan Francis Light,
bersetuju sahaja memajakkan Pulau Pinang kepada EIC pada tahun 1791
dengan habuan 6,000 dolar Sepanyol setahun.
Pada tahun
1800 pula Seberang Perai dipajakkan kepada pihak sama dengan ‘pengeras’
4,000 dolar Sepanyol. Antara syarat yang dikenakan ialah hubungan
muhibah persahabatan dan jika Kedah diserang oleh Siam, Light hendaklah
membantu mengusir musuh tersebut.
Inggeris
melalui Light tidak menepati syarat membantu Kedah jika diserang. Dari
segi undang-undang perjanjian atau triti, Pulau Pinang sepatutnya
diambil balik atau dikuasai semula oleh Kedah. Perkara ini tidak pernah
dilakukan.
Akan menjadi satu kes penting lagi menarik jika abaian ini diteliti semula dan diambil tindakan undang-undang sivil.
Di selatan
Semenanjung pula, Stamford Raffles berintim dengan Temenggung Hussein
yang menguasai Pulau Temasik atau Singapura. Akhirnya pada 1819
Singapura lepas ke tangan Inggeris dengan habuan di raja 3,000 dolar
Sepanyol setahun.
Pada 1826
Piagam Keadilan tahun itu dikuatkuasakan pula di Singapura dan Melaka di
ambang penubuhan Negeri-negeri Selat. Britain mentadbir Pulau Pinang,
Melaka dan Singapura di bawah Piagam Keadilan 1826. Syarat undang-undang
common law hendaklah dikuatkuasakan tertakluk kepada “ubah suai
tempatan” atau local conditions terus tidak diberi perhitungan yang
serius.
Wajar
disebut bahawa pihak-pihak di raja tidak tampak tampil untuk memberi
pembelaan kepada wilayah mereka yang dipajakkan. Perjanjian
Inggeris-Belanda (Anglo Dutch Treaty) 1824 membutirkan Melaka, Pulau
Pinang dan Singapura sebagai jajahan British sementara Bencoolen
(Bengkulu atau Bangka Hulu) diletakkan di bawah jajahan Belanda.
Di sebalik
latar belakang sedemikian, undang-undang common law Inggeris dan equity
terus menerus diutamakan dalam pelbagai bidang dan kegiatan. Namun
klausa “ubah suai mengikut keadaan tempatan” tidak pernah diungkit atau
disabitkan dengan tuntutan perundangan Semenanjung.
Keadaan di
Sabah dan Sarawak juga begitu mudah dikawal di bawah Enakmen
Undang-undang sivil masing-masing walaupun hal ehwal tanah penduduk asal
(native land) diberi sebutan dan perhatian khas.
Menjelang
1874 iaitu tahun Perjanjian Pangkor dikuatkuasakan susulan peristiwa
pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak, Perak, ‘angin pentadbiran orang
putih’ bertiup kencang. Menjelang 1889 Perak, Selangor Negeri Sembilan
dan Pahang sebagai negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dinaungi
British.
Sultan
masing-masing hanya diberi kuasa mentadbir adat dan agama Islam
sementara Inggeris mengukuhkan sistem BAnya (penasihat British). Pada
masa ini Piagam Undang-undang Sivil 1873 dikuatkuasakan. Common law
jenayah dan kanun prosedur jenayah British mula dikuatkuasakan di
Negeri-negeri Melayu Bersekutu.
Kes Ujian
Salah satu
kes ujian sama ada keadilan common law Inggeris benar-benar mengizinkan
“ubah suai tempatan” atau tidak telah diuji melalui kes Fatimah lwn.
Logan 1871. Kes ini berkaitan tuntutan hak perkahwinan dan perceraian di
sisi agama Islam yang tidak dibenarkan oleh mahkamah sivil Pulau
Pinang.
Beberapa
kes yang semusim dengan Logan, Ong Cheng Neo (1872) dan lain-lain juga
tidak mendapat pertimbangan wajar daripada mahkamah sivil common law
Negeri-negeri Selat. Mahkamah mengetepikan rayuan berasaskan
undang-undang keluarga penduduk tempatan. Sekali gus Inggeris sendiri
tidak mematuhi piagam Charter of Justice mereka.
Kes paling
terkenal yang tidak mengendahkan “tuntutan keadaan tempatan” ialah
perbicaraan Natrah atau Hertogh 1950 di Singapura yang mencetuskan
rusuhan kaum. Natrah dilarang mahkamah common law Inggeris daripada
menetap dan mengahwini Mansor Adabi di pulau itu walaupun atas alasan
sah di sisi Islam.
Natrah
dilarikan oleh ibu bapanya balik ke Belanda lantas memisahkan antara
Mansor dan Natrah buat selama-lamanya. Kes ini berupa kemuncak
ketidakadilan Piagam Keadilan atau Charter of Justice 1873 atau yang
sebelumnya.
Kini
Malaysia masih dikongkong oleh seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil
1956. Di Semenanjung, Sabah dan Sarawak penerimaan dan pemakaian common
law dan equity ke dalam sistem perundangan tetap gah dan utama. Suara
untuk meminda kedua-dua seksyen ini masih semacam belum didengar.
Para hakim
peringkat tinggi dan atasan belum pernah menyuarakan betapa perlunya
Malaysia menerap nilai-nilai perundangan tempatan. Nas-nas tempatan
seperti nilai-nilai Rukunegara, keadilan melalui perbilangan adat
Melayu, dan sebagainya amat layak dijadikan asas dan punca keadilan
untuk masa hadapan.
Sebenarnya
seksyen 3 dan 5 Akta Undang-undang Sivil 1956 yang diceduk dari
versi-versi 1807, 1826 dan 1873 membenarkan penggunaan “keadaan tempatan
yang diperlukan” sebagai asas memasukkan petua-petua baru. Tetapi usaha
ini tidak mendapat sambutan daripada pengamal undang-undang kita
sendiri.
Keadaan
ini mesti digegarkan lagi supaya kesedaran perundangan yang menyeluruh
tersebar luas. Hakikatnya – kelumrahan common law dan equity Inggeris
yang berasal dari zaman Anglo Saxon lagi (1066) lagi, memang tidak
dinafikan.
Namun
memakai segala prinsip turutan atau precedent kes-kes mereka tentunya
tidak bijak dan tidak membantu memupuk keutuhan guaman serta kehakiman
negara bangsa yang berdaulat.
Kemaraan
sistem perundangan dan kehakiman syariah memang amat dibanggakan setakat
ini. Tetapi ia sewajarnya mempunyai nas dan prosedur guaman serta
kehakiman yang setara. Begitu juga penarafan para hakim syariah.
Penyelarasan pentadbiran syariah di negeri-negeri amat diperlukan demi
keselarasan keadilan.
Di samping
itu usaha gigih untuk meminda Akta Undang-undang Sivil 1956, harus
diutamakan agar nas dan prinsip perundangan melalui Rukunegara, adat,
dan kebijaksanaan tempatan beroleh tahap utama dalam falsafah dan amali
perundangan tanah air.
Artikel ini pertama kali disiarkan dalam Mingguan Malaysia hari ini (18 Muharram 1439H).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan