Jumaat, 13 Oktober 2017

Bekas pengerusi pertikai dakwaan SPR lupus data pengundi

 
Abdul Rashid mempertikaikan dakwaan pengerusi SPR kononnya suruhanjaya sudah melupuskan data pengundi Selangor.


Abdul-Rashid-Abdul-Rahman-Election-Commission-pengundi-data

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertikaikan dakwaan suruhanjaya kononnya data alamat 136,272 pengundi yang dipohon kerajaan Selangor sudah dilupuskan.

Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata selaku institusi yang bertanggungjawab ke atas integriti dan ketelusan proses pilihan raya, SPR diberi tanggungjawab untuk menyimpan alamat pengundi.

“Oleh itu, saya terkejut apabila responden (SPR) mendakwa alamat pengundi telah dilupuskan dan tidak relevan dalam proses persempadangan semula,” katanya dalam afidavit yang difailkan untuk kerajaan Selangor yang mahu membatalkan notis persempadanan semula SPR.

Kerajaan negeri dalam saman yang difailkan tahun lepas mendakwa SPR menyalahi Perlembagaan Persekutuan dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Kerajaan negeri dan SPR ke Mahkamah Rayuan untuk membuat rayuan berhubung satu permohonan penzahiran, termasuk maklumat mengenai 136,272 pengundi.

Mahkamah Rayuan, pada 20 Julai, membenarkan rayuan SPR yang suruhanjaya tidak perlu memberikan kod lokaliti dan nama 136,272 pengundi dalam persempadanan semula 1994 dan 2003 kepada kerajaan negeri.

Mahkamah Persekutuan bulan lepas juga membuang rayuan kerajaan negeri ke atas keengganan SPR untuk menyediakan maklumat itu.

Di Mahkamah Rayuan, peguam kerajaan Amarjeet Singh memberitahu para hakim data SPR yang diminta kerajaan negeri itu sudah dilupuskan.
 Beliau berkata jabatan kerajaan tidak menyimpan rekod selepas 7 tahun.

“Maklumat daftar pemilih 1993 dan 2004 tidak ada mengikut operasi undang-undang,” katanya.

Keputusan itu menyukarkan kerajaan negeri membuktikan SPR menjalankan penentuan sempadan dan salah pembahagian untuk memastikan pihak tertentu terus berkuasa.

Afidavit Rashid dibacakan di mahkamah hari ini oleh peguam Ambiga Sreenevasan di pendengaran utama di depan Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan yang bersambung semula selepas 7 bulan.

Rashid, yang merupakan pengerusi SPR dari 2000 hingga 2008, berkata pelupusan maklumat yang berkaitan dengan pengundi mesti dilakukan dengan persetujuan para pesuruhjaya.

“Selaku setiausaha dan pengerusi, saya tidak pernah memberi kelulusan, dan tidak sedar ada permohonan untuk melupuskan alamat pengundi,” kata Rashid, yang merupakan setiausaha SPR dari 1979 hingga 1995.

Sepanjang berkhidmat dengan SPR, Rashid berkata beliau menyelia 3 persempadanan semula, termasuk pada 1994 dan 2003.

“Saya amat menyedari dasar pentadbiran dan dalaman SPR,” kata Rashid yang kini merupakan naib presiden PPBM.

Rashid berkata dakwaan oleh SPR itu sangat meragukan, tidak jujur dan tidak telus.

“Selaku bekas pengerusi SPR, saya mengharapkan responden membantu mahkamah demi kepentingan keadilan,” katanya.

Tiada ulasan: