MENGGUNAKAN rasional akal dalam menafsir agama
dengan alasan membuka ruang dimensi berfikir semakin berleluasa di
tanahair kita. Dengan terjahan dunia langit terbuka kelompok ini dengan
aktif menebarkan sikap serta pandangan mereka, bahkan secara terbuka
mengadakan bantahan awam untuk berekspresi akan tuntutan-tuntutan
mereka. Mereka secara terbuka menyerang institusi agama negara ini serta
berkolabarasi dengan sesiapa sahaja yang menyokong perjuangan mereka.
Terjahan kepada Islam berlangsung sepanjang zaman dan menuntut ummat
Islam berdada dengan penyelewengan ini. Antara kebobrokan yang kian
mendapat tempat dalam kalangan umat Islam yang jahil ialah fahaman Islam
liberal, menyusup secara diam dan pantas dalam akar ummah di pelbagai
posisi. Isu ini semakin menjadi hangat dengan pihak berkuasa agama
melarang wacana Mustapha Akyol, seorang sarjana Turki yang ingin
menebarkan fahaman agamanya kepada rakyat negara ini, kita melihat
bagaimana kelompok Islam Liberal negara ini bersungguh-sungguh
mempertahankan kewajaran wacana Mustapha Akyol.
Bentuk-Bentuk Pemikiran Golongan Islam Liberal
1. Mereka menganut fahaman pluralisme
Iaitulah fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah sama yakni
benar belaka. Orang Islam tidak boleh meyakini bahawa hanya agama Islam
sahaja yang benar. Sebaliknya mereka hendaklah mengiktiraf agama lain
juga benar dan betul. Urusetia Jaringan Islam Liberal, Ulil Abshar
Abdalla dalam majalah Gatra (Indonesia) keluaran 21 Disember 2002
menyatakan: "Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran".
Dengan fahaman inilah, maka lahirnya ideologi Pancasila di Indonesia.
Darinya juga, penganut fahaman Islam Liberal menyeru agar dibenar
perkahwinan campur antara agama kerana semua agama adalah benar dan
betul dan perkahwinan sebegini sememangnya telah diamalkan di Indonesia
menunjukkan kejayaan besar golongan Islam Liberal di sana. Di Malaysia,
penularan fahaman Pluralisme dapat dilihat dalam kes-kes berikut;
a. Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut perayaan agama secara
bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia (Islam, Hindu, Cina dan
Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh Mufti dan para ulama dalam
Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai bertentangan dengan
Islam, namun golongan Islam Liberal menolak pandangan Mufti dan
ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot atau berpemikiran
tertutup.
b. Kerana terpengaruh dengan fahaman Pluralisme inilah maka beberapa
Menteri Muslim dan sebuah NGO muslim (iaitu Sisters In Islam) telah
turut menyokong penubuhan InterFaith Council (IFC) atau
Majlis/Suruhanjaya Antara Agama-Agama. Suruhanjaya Antara Agama ini
dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis Kristian Budha Hindu dan Sikh
Malaysia melalui memorandum yang telah dihantar ke Majlis Peguam pada 21
Ogos 2001.
2. Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia
Dalam isu murtad - seperti kes Lina Joy (yang nama asalnya Azlina
Jailani), golongan Islam Liberal di Malaysia antara yang mendesak agar
penganut Islam diberi hak untuk murtad dari agama (Islam) tanpa sebarang
tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk dengan keputusan Mahkamah
Syariah. Seorang peguam yang juga merupakan ahli parlimen daripada parti
kerajaan iaitu Zaid Ibrahim pernah mengungkapkan isu murtad ini dalam
satu forum yang dianjurkan oleh SUHAKAM pada 9 September.
Bagi kelompok Islam Liberal yang jahil ini mereka berhujah bahawa Hak
untuk murtad menurut mereka adalah kebebasan beragama yang juga diakui
oleh al-Quran. Mereka menyalah tafsirkan ayat Allah yang
berbunyi; "Tidak ada paksaan dalam agama". (Al-Baqarah; 256
Menurut tafsiran ulama tafsir yang muktabar, ayat di atas hanya
terpakai bagi orang bukan Islam, yakni mereka tidak harus dipaksa untuk
menganut Islam kecuali dengan kerelaan sendiri. Adapun bagi penganut
Islam, maka mereka wajib beramal dengan segala tuntutan Islam termasuk
tuntutan memelihara aqidah dan Iman. Dalam kes murtad, orang Islam yang
keluar daripada agama akan dikenakan hukuman yang berat di akhirat dan
di dunia. Hukuman di akhirat ia akan dihumbankan Allah dalam neraka
untuk selama-lamanya.
Adapun hukuman di dunia ia akan dibunuh sebagaimana yang sabit dengam
dalil as-Sunnah yang soheh iaitu sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Sesiapa menukar agamanya (yakni murtad), maka hendaklah kamu
membunuhnya". (Riwayat Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan lain-lain dari
Ibnu Abbas)
3. Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman
Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran perlu ditafsir semula tanpa
terikat dengan tafsiran ulama terdahulu. Tafsiran ulama terdahulu telah
jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi untuk zaman sekarang. Dalam
mentafsir al-Quran tidak perlu terikat dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh
wal Mansukh, tafsiran Rasulullah, para sahabat dan ahli-ahli tafsir
terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran itu menepati logik akal dan
rasional.
"Semua umat Islam perlu kembali kepada asas-asas Islam dengan menolak
tafsiran klasik (lama) yang telah ketinggalan zaman. Kepada umat Islam,
kita menyeru supaya digerakkan usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran
berdasarkan kaedah saintifik". (Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News
Straits Times)
Jelasnya, golongan Islam Liberal mengajak umat Islam kepada
penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan ilmu akal semata-mata. Kerana
itu mereka awal-awal lagi telah menolak hadis Nabi yang bermaksud,
"Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal fikirannya semata-mata,
maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka" dengan mendakwa hadis
tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya
berfikir, merenung dan menggunakan akal.
4. Mempertikai syari'at Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional
Pada pandangan mereka hukum syari'at Islam adalah ciptaan ulama dan
fuqahak. Oleh itu, mereka menganggap Syariat Islam tidaklah suci secara
sepenuhnya dan ia terdedah kepada penilaian semula dan kritikan
termasuklah hukum-hakam Syari'at yang Qat'ie. Antara hukum-hakam
Syari'at yang menurut pandangan mereka perlu dinilai semula ialah:
a. Hukum faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita
b. Keharusan poligami bagi lelaki.
c. Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita
d. Hukuman bunuh ke atas orang murtad
e. Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah
f. Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat.
g. Hak mutlak suami untuk mencerai isteri
h. Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam
i. Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia
Demi menjayakan hasrat mereka itu maka mereka menyeru kepada
pembaharuan Fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk kepada ulama dan
disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak autoriti ulama
dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan berpendapat bahawa
sesiapa sahaja berhak bercakap tentamg agama.
5. Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama
Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral
berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar
kebebasan dan hak asasi manusia.
Sebagai contohnya, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) suatu ketika dulu menahan para
pengunjung Islam di pusat-pusat hiburan telah mendapat bantahan keras
dari Sisters In Islam dan 50 NGO yang lain. Mereka telah mengemukakan
memorandum kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan
undang-undang untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap
bercanggah dengan hak asasi manusia.
Malah dalam satu kenyataannya SIS meminta pihak kerajaan agar
membubarkan semua undang-undang agama yang menghalang rakyat daripada
mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara. Malahan pertubuhan itu juga
tidak bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang
untuk memelihara iman seorang muslim. Hal ini kerana persoalan yang
berkaitan dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan
kebebasan tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa
perundangan. - HARAKAHDAILY
* Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan