Khamis, 19 Oktober 2017

AMK Cuba Calarkan Imej PAS Selangor ?

 
 



Berlatarkan imej Angkatan Muda Keadilan Kuala Langat, Khairul Fikril Aziz Kamaruzzaman bersama-sama rakan-rakannya mengkritik sikap ADUN PAS Sijangkang, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang disifatkannya tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Khairul Fikril, pengerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 1 secara terbuka di media melahirkan rasa kesal dengan sikap Ahmad Yunus yang didakwanya sengaja melengah-lengahkan proses menandatangani sebuah dokumen yang diserahkan ke Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sijangkang pada 11 Oktober 2017.

Dakwanya, dia membuat panggilan berkali-kali kepada Ahmad Yunus tetapi tiada jawapan sehingga memaksanya untuk hadir semula ke pejabat ADUN PAS berkenaan, namun masih gagal untuk mendapat tandatangan tersebut.

“Tapi sehingga semalam masih tak ada jawapan, dan saya ke pejabat Ahmad Yunus semula untuk mendapatkan penjelasan.

“Masa tu kerani bertugas memaklumkan YB sudah ambil kertas kerja itu untuk diteliti dan sekali lagi memohon supaya menghubungi YB untuk mendapat tahu bila boleh mengambil semula dokumen, tetapi masih tidak berjawab,”katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen PKR Kuala Langat, semalam.



Dalam respon segera, Ahmad Yunus yang juga Timbalan Pesuruhjaya (1) PAS Selangor berkata beliau tidak pasti adakah benar Khairul Fikril menghubunginya berkali-kali, namun jika penama itu menghubunginya secara pesanan ringkas (SMS) ataupun WhatsApp pasti beliau akan menjawab.

“Hubungi saya berkali-berkali saya tidak pasti sebab saya tiada nombor handphonenya dan (saya) tidak pernah mengenali beliau sebelum ini.

“Semudah SMS atau WhatsApp, Insya Allah saya akan hubungi balik. Wallahu aklam,”kata Ahmad Yunus dalam Facebook.

Tambahnya, selaku wakil rakyat DUN Sijangkang, beliau tidak pernah dihubungi sebelum ini untuk melaksanakan program anjuran AMK Kuala Langat tersebut.

“Adakah salah mengambil sedikit masa untuk saya buat semakan (terhadap) dua program yang telah berlalu (30 Ogos dan 4 Okt) yang mohon sokongan dari saya dan belum dapat kelulusan (daripada pihak) Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) tetapi (kedua-dua program itu) telah berlaku.

“Program (itu) tidak dimaklumkan kepada saya sebelum ini dan diadakan di luar Zon 1. Hari Kelima (bekerja) seawal (jam) 8.20 pagi saya (telah) serah borang permohonan dan kertas kerjanya kepada Timbalan Yang Dipertua (MDKL),”jawab Ahmad Yunus.

Tiada ulasan: