Rabu, 11 Oktober 2017

Aishah kahwin kali keempat

MALAYSIA GAZETTE


Foto Instagram Aishah

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aishah mengakui sudah kembali berumah tangga selepas enam tahun bercerai dengan suami ketiganya pada 2011.

Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin, 52, berkata, dia melangsungkan perkahwinan tersebut pada tahun ini namun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya.

“Ya, benar saya sudah kembali berumah tangga dan cukup setakat itu sahaja saya dedahkan,” katanya memetik laporan mStar.

Aishah ditemui pada sidang media memperkenalkan 12 finalis program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang diadakan di The Gardens Theater di sini, semalam.

Tambah Aishah, suaminya itu memberikan sokongan dan galakan dia menyertai program tersebut.

Aishah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Armand Azhari, 24, dari perkahwinan pertama yang dirahsiakan dan Azhad Ahlami, 19, menerusi perkahwinan kedua dengan Muhammad Abdullah pada 1997 sebelum sah bercerai pada 2005.

Aishah kemudiannya berkahwin dengan Faizal Sazali Zulkifli pada 2010 namun bercerai setahun kemudian.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam Gegar Vaganza, Aishah berharap tiada pihak mencampur-adukkan penglibatannya dalam politik sebelum ini dengan pertandingan itu.

Kata Aishah, dia sendiri ingin memberikan fokus sepenuhnya kepada pertandingan itu kerana sudah lama tidak aktif sebagai penyanyi.

Beliau merupakan penyokong Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam bidang politik, Aishah pernah dicalonkan untuk bertanding kerusi Parlimen Jempol, Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) mewakili PAS namun tewas di tangan calon Barisan Nasional, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: