Selasa, 19 September 2017

SPRM tahan individu berkaitan isu jual beli tanah

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PORT DICKSON: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang individu berhubung isu jual beli tanah di Kampung Serampang Indah, Jempol yang dahulunya dikenali sebagai Ladang Gatco.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata individu berusia 69 tahun itu ditahan setelah dia hadir ke Pejabat SPRM Putrajaya petang Isnin untuk direkodkan kenyataannya.
 
"Hari ini kita telah mengambil keterangan daripada seorang saksi penting yang menguruskan pemindahan hak milik tanah dan kita telah menahannya.
 
"Lelaki ini adalah seorang ‘liquidator' (penyelesai). Siasatan masih berjalan," katanya kepada pemberita.
 
Beliau menghadiri majlis perasmian program Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (Kejar'17) sempena sambutan Hari Ulang Tahun SPRM ke-50 Peringkat Negeri Sembilan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
 
Pada 29 Ogos lepas empat pegawai SPRM mengunjungi pejabat Unit Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bagi mendapatkan maklumat berhubung isu tersebut.
 
Isu pertikaian Ladang Gatco itu bermula apabila peneroka tidak berpuas hati dengan penjualan ladang berkenaan.
 
Sementara itu Dzulkifli berkata negeri lain perlu mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan bukan hanya kepimpinan negeri tetapi seluruh jabatan dan agensi negeri serta rakyat harus tampil bagi menyatakan sokongan kepada Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah).
 
"Apa yang kita hendak lahirkan ialah masyarakat Malaysia yang berani menyatakan tidak kepada rasuah. Kalau tidak ada orang yang hendak beri rasuah, maka tidak ada lagi yang penerimanya. Ini yang kita hendak buat," katanya.
 
Sahabat Gerah dilancarkan pada 1 Ogos lepas untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan SPRM dalam usaha pencegahan rasuah dan memeranginya secara habis-habisan.
 
Sehingga kini, seramai 60,000 rakyat Malaysia telah menjadi ahli Sahabat Gerah sejak ia dilancarkan, kata beliau.
 
"Kita jangka menjelang berakhirnya program Kejar'17 pada 30 Sept ini, sasaran kita ialah 100,000 rakyat Malaysia menjadi ahli Sahabat Gerah," katanya.
 
Dzulkifli berkata Sahabat Gerah berperanan sebagai mata dan telinga kepada SPRM untuk melaporkan sebarang perlakuan rasuah kepada SPRM, menyumbang tenaga dalam usaha pencegahan rasuah dan menjadi model peranan individu berintegriti kepada masyarakat.
 
Beliau berkata, Program Kejar'17 sedang berlangsung selama 12 hari bermula hari ini disertai 40 motosikal dan sebuah bas yang membawa pegawai kanan SPRM.
 
Katanya melalui program ini, pegawai SPRM akan pergi dari negeri ke negeri untuk mendekati masyarakat dan memberi pendedahan mengenai jenis rasuah serta salah guna kuasa yang sering berlaku.
 
 

Tiada ulasan: