Selasa, 19 September 2017

Saya tak peduli siapa keluar masuk parti, yang penting jaga ahli – Nazri

Muhamad Izwan Mohd Zubit

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menunjukkan logo Homestay dan Kampungstay Malaysia pada sidang media di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR
 

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempunyai pandangan berbeza berhubung isu ahli politik keluar masuk dengan menyifatkan ia bukan suatu yang penting.

Nazri yang mengulas isu kemasukan semula bekas pemimpin, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib ke dalam UMNO menyifatkan langkah tersebut tidak penting buat parti tetapi yang perlu dijaga adalah ahli dan memenangi hati pengundi.

“Benda ini (Muhammad Muhd. Taib) bagi saya tidak jadi perkara yang mendatangkan impak atau kurangkan impak.

“Apa pun yang berlaku kita sudah bersedia hadapi pilihan raya,” kata beliau semasa sidang media sempena pelancaran logo baharu program Homestay dan Kampungstay Malaysia hari ini.

Jelas beliau, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah melakukan persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya sejak berakhir pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lagi dan fokus sekarang adalah mentaliti untuk memenangi pilihan raya depan yang akan dihadapi tidak lama lagi.

“Saya telah sebut dalam BN khususnya UMNO kita telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya sebaik pengumuman keputusan PRU13.

“Bermakna kita bekerja sepanjang masa, kita sudah bekerja dan kita fokus sekali mentaliti kita akan hadapi pilihan raya dan kita nak menang,” katanya lagi.

Mengenai tindakan individu keluar masuk parti, Nazri menganggap ia sebagai lumrah dalam politik.
“Kita tidak kira siapa masuk atau keluar kerana itu adalah lumrah politik,” katanya lagi.

Bagi Nazri, apa yang lebih penting buat masa ini adalah parti menjaga ahli UMNU yang setia dan mendapatkan sokongan pengundi, bukannya menfokuskan terhadap individu semata-mata.

“Saya langsung tak peduli siapa keluar masuk, saya nak jaga ahli UMNO yang bekerja dan kedua pengundi saya… itu sahaja fokus saya,” ujarnya.

Semalam, Muhammad mengumumkan kemasukkan semula ke dalam UMNo selepas beberapa tahun bersama parti pembangkang.

Muhammad sebelum ini menyertai Pas dan kemudiannya PKR.

Beliau juga banyak memainkan peranan dalam membantu pembangkang memenangi Selangor semasa pilihan raya umum lalu. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: