Selasa, 19 September 2017

PKR tak bincang Mat Taib keluar parti, kata Azmin

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tiada keperluan untuk parti membincangkan keputusan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang telah kembali semula kepada Umno semalam.
 
Katanya ia perkara biasa dalam dunia politik dan parti perlu meneruskan perjuangan.
 
"Orang datang dan pergi. Apa yang penting adalah perjuangan harus ditegakkan. Kita tidak perlu komen atau bincang mengenai mereka yang telah pergi.
 
"Mereka yang masih ada perlu mempunyai kepercayaan dan komited dalam perjuangan ini," katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.
 
Semalam Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor mengumumkan keluar PKR kerana kecewa parti itu tidak mementingkan agenda perjuangan Melayu mahupun Islam.
 
Muhammad menyertai PKR pada tahun 2015 setelah dua tahun menyertai PAS.  
 
Beliau sebelum itu sekian lama bersama Umno di mana beliau memegang pelbagai jawatan termasuk Naib Presiden dan Ketua Penerangan parti.
 
Sementara itu, Azmin turut ditanya mengenai laporan sebuah NGO kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai penjualan sebidang tanah di Ijok yang bernilai kira-kira RM1.1 bilion, yang dakwanya berlaku penipuan.
 
Jawab Menteri Besar Selangor itu, beliau menyerahkan kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu dan kerajaan negeri bersedia untuk disiasat.
 
"Tak apa serah kepada SPRM untuk buat siasatan dan kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk disiasat. 
 
"Mengapa perkara ini menjadi perhatian umum kerana kita mengamalkan sikap yang terbuka. Kita tak pernah nak sorok-sorok apa-apa isu, kita telus (dan) sesiapa boleh melaporkan kepada pihak berkuasa dan serah kepada pihak bertanggungjawab untuk disiasat," katanya.
 
Minggu lalu, sebuah NGO, Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) mendesak satu siasatan dijalankan terhadap Azmin berhubung penjualan tanah di Ijok.
 
Presiden IMPAK Datuk Zul Azhari Mohamed Juah mendakwa Azmin menyerahkan tanah seluas 2,198.4 ekar kepada dua pemaju yang kontraknya telah dibatalkan pada 2014 oleh kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim ekoran dua pemaju itu gagal membangunkan tanah berkenaan.
 
Menurut beliau, ia kemudian dijual kepada sebuah syarikat pemaju iaitu Eco World Group Development Berhad dengan harga RM1.181 bilion.
 
Katanya, urus niaga tersebut menimbulkan pelbagai keraguan khususnya kaedah yang digunakan Azmin sewaktu menyelesaikan isu ini.
 
 

Tiada ulasan: